‘Mereka boleh halang guna kuasa’, tapi aduan dari Bersatu sendiri – Akmal kena ‘sekolah’ dengan netizen

 


Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyambut baik kesediaan Pas mempertimbangkan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mengundang sindiran netizen.

Akmal dalam reaksinya menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif buat usaha memperkukuh “perpaduan ummah”.

“Alhamdulillah. Kami menyambut baik dengan cadangan dan usaha ini.

“Mereka boleh halang dengan menggunakan kuasa yang mereka ada, tetapi Allah balas dengan perkara yang jauh lebih baik.

“Moga ini dapat lagi memperkukuhkan perpaduan ummah ini dan Melaka akan menjadi saksi, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Namun, rata-rata mempersoalkan siapakah pihak yang dimaksudkan Akmal sebagai “mereka” yang menggunakan kuasa untuk menghalang Pas.

Ini kerana rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menunjukkan tindakan terhadap Perikatan Nasional (PN) tercetus susulan aduan rasmi yang dikemukakan Bersatu sendiri, bukannya aduan daripada parti kerajaan.

RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan Bersatu pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Susulan aduan itu, RoS mengeluarkan notis kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 pada 22 September dan kemudiannya menggantung semua kegiatan gabungan itu di bawah subseksyen 13(2A), berkuat kuasa 23 September lepas.

RoS turut menegaskan notis itu bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan tersebut menjelaskan aduan yang dibuat Bersatu.

Penyatuan kroni

Susulan itu, kenyataan Akmal dilihat mengundang sindiran di media sosial.

Antaranya pengguna Facebook, Akif Haziq yang mengingatkan bahawa pertikaian tersebut sebenarnya berpunca daripada dalam PN sendiri.

“Yang membuat Pas dilarang menggunakan logo PN adalah dari dalam PN sendiri iaitu Bersatu,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Faiz Begau, pula menyindir slogan penyatuan yang dibawa kedua-dua parti itu dengan bertanya: “Penyatuan ummah ke penyatuan kroni? Saja nak tanya.”

Nazul Azham pula memberi reaksi ringkas tetapi tajam: “Kena telan dengan Pas hujung sekali ni.”

Sebelum ini, PN sendiri mengakui masih belum mengetahui butiran penuh lapan aduan yang dibuat Bersatu kepada RoS dan meminta penjelasan lanjut daripada jabatan berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.