Mangsa pemandu mabuk bakal terbela, PM Anwar mahu pesalah wajib bayar pampasan

 


Kerajaan MADANI mengambil langkah lebih tegas bagi membela nasib mangsa kemalangan jalan raya apabila mengumumkan cadangan pindaan undang-undang yang mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat kecuaian pemandu mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau turut mengimbas tragedi menyayat hati pada malam Hari Kebangsaan lalu apabila empat individu, termasuk sepasang suami isteri dan anak kecil mereka, maut dalam nahas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh.

Anwar berkata ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, sehingga Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 28 kes kematian direkodkan akibat pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menurut beliau, tragedi sedemikian menyentak hati rakyat dan membuktikan bahawa penguatkuasaan yang lebih tegas masih diperlukan meskipun pelbagai peraturan keselamatan jalan raya telah diperketat.

Sehubungan itu, kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.

Cadangan berkenaan turut menyusuli usaha Kementerian Pengangkutan yang sejak Mac lalu merangka pindaan bagi membolehkan keluarga mangsa menerima pampasan selain hukuman jenayah yang dikenakan terhadap pesalah.

Dalam usaha mencegah kemalangan pula, kerajaan akan mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.

Sistem itu turut merangkumi keupayaan menghubungkannya dengan alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan.

Pelaksanaan secara sukarela akan diteruskan sehingga 2027, sementara kerajaan membangunkan pangkalan data pemandu bagi tujuan penguatkuasaan.

Pada masa sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka ketika memandu.

Selain tindakan terhadap pemandu berisiko, Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada keadaan jalan raya yang menjadi kegunaan harian rakyat.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi memperkasa peranan Jurutera Daerah untuk mempercepat pelaksanaan projek kecil, termasuk membaiki jalan berlubang.

Kerajaan juga menyediakan RM2.5 bilion untuk menyelenggara Jalan Persekutuan, termasuk hampir RM800 juta yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.

Bagi jalan negeri, sebanyak RM5.7 bilion disediakan menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membina 15 tempat berteduh motosikal serta memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Sebanyak 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik turut akan disediakan di lokasi strategik bagi menyokong penggunaan pengangkutan lebih mesra alam.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.