Siapa sangka, seorang lelaki dari Pasir Mas, Kelantan yang memerlukan kerusi roda untuk dirinya dan ibu yang sudah uzur akhirnya menerima bantuan daripada pasukan DAP di Pulau Pinang.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh aktivis DAP, Rosli Yusof menerusi Facebook apabila mendedahkan bagaimana lelaki berkenaan menghubungi pihaknya melalui e-mel untuk memohon bantuan kerusi roda.
Menurut Rosli, lelaki itu mendakwa sudah memohon bantuan daripada pihak zakat Kelantan dan wakil rakyat di kawasannya, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
Bayangkan, duduk di Kelantan tetapi terpaksa mencari bantuan sampai ke Pulau Pinang semata-mata mahu mendapatkan sebuah kerusi roda.
Rosli pada mulanya cuba mencari individu di Kelantan yang boleh membantu kerana kos penghantaran dari Pulau Pinang mungkin tidak berbaloi jika dibandingkan dengan harga kerusi roda tersebut.
Beliau turut membuat perkongsian di Facebook dengan harapan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan, namun usaha itu tidak membuahkan hasil.
Akhirnya, Rosli mendapat idea untuk membeli kerusi roda berkenaan melalui platform Shopee supaya dapat dihantar terus kepada lelaki tersebut.
Lebih menggembirakan, kerusi roda itu kini sudah selamat sampai kepada penerima yang turut menghantar gambar sebagai tanda penghargaan.
Dalam gambar berkenaan, kelihatan sekeping kad ucapan terima kasih kepada Steven Sim, Rosli Yusof dan pasukan DAP diletakkan pada kerusi roda tersebut.
Kisah ini menarik perhatian kerana ketika DAP sering menjadi sasaran kritikan politik di Kelantan, pasukan parti itulah yang tampil membantu seorang penduduk negeri berkenaan mendapatkan keperluan asasnya.
Sudah tentu dakwaan bahawa permohonan kepada pihak zakat dan wakil rakyat tidak berjawab perlu diberikan ruang untuk penjelasan pihak terlibat.
Namun, kisah ini juga mengingatkan betapa pentingnya setiap permohonan bantuan daripada rakyat yang benar-benar memerlukan diberikan perhatian sewajarnya.
Bagi orang yang mampu berjalan seperti biasa, kerusi roda mungkin nampak seperti barang kecil. Tetapi bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan, bantuan itu cukup besar maknanya.
Dalam soal kebajikan, rakyat bukan mahu tengok logo parti apa pada baju orang yang membantu. Mereka cuma mahu masalah yang dihadapi dapat diselesaikan.
Apa pun, penghargaan wajar diberikan kepada Rosli Yusof, Steven Sim dan pasukan yang terlibat atas usaha membantu lelaki berkenaan.
Kadang-kadang bantuan yang paling bermakna bukan datang daripada orang yang paling dekat, tetapi daripada mereka yang sanggup mendengar dan bertindak walaupun berada jauh beratus kilometer.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.