Pengumuman peningkatan nilai perolehan kerajaan kepada RM7.5 bilion menerusi Belanjawan 2027 memberi kelegaan dan nafas baharu kepada lebih 103,000 kontraktor kecil dan sederhana Bumiputera di seluruh negara.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, peningkatan ketara daripada RM4 bilion tahun ini kepada RM7.5 bilion tahun hadapan membuka peluang lebih luas kepada kontraktor gred G1 hingga G4 untuk mendapatkan projek kerajaan.
Menurut beliau, kumpulan berkenaan merangkumi kira-kira 75 peratus atau 103,500 daripada keseluruhan 138,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara.
“Mereka ini tergolong daripada kontraktor kecil dan sederhana dan pengumuman ini memberi kelegaan kepada kumpulan berkenaan,” katanya.
Mohd Rosdi turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan perhatian terhadap pandangan dan cadangan yang dikemukakan PKMM dalam sesi libat urus bersama kerajaan minggu lalu.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sebahagian cadangan dan pandangan kami ketika sesi libat urus minggu lalu diberi perhatian oleh kerajaan terutama peruntukan kerajaan sebanyak RM83 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
“Malah, pengagihan kepada kementerian-kementerian utama yang mempunyai kaitan dengan pihak kontraktor juga menyaksikan peruntukan yang besar,” katanya.
Memperluas penyertaan
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera gred G1 hingga G4 sebagai sebahagian usaha memperluas penyertaan golongan berkenaan dalam projek kerajaan.
Beliau turut mengumumkan bahawa bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan, had perolehan melalui lantikan terus dibenarkan sehingga RM200,000, manakala had sebut harga sehingga RM3 juta.
Dalam pada itu, Mohd Rosdi berharap projek yang diumumkan membabitkan kesemua kementerian dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan tanpa tertangguh sehingga 2028.
Rosdi turut mencadangkan supaya sebahagian besar daripada peruntukan RM7.5 bilion itu diagihkan menerusi kaedah cabutan undi berbanding sebut harga bagi memperluas peluang penyertaan kontraktor kecil.
“Ini kerana kaedah cabutan undi lebih telus dan adil selain memberi peluang dan lebih terbuka kepada kumpulan kontraktor terbabit,” katanya.
Tambahnya, pendekatan itu juga dilihat mampu mengurangkan risiko ketirisan serta memastikan lebih ramai kontraktor yang layak berpeluang menyertai projek kerajaan.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.