KUALA LUMPUR: Bayar lebih RM2.1 bilion tetapi dapat sebuah kapal tempur kurang — itu persoalan besar yang kini menuntut jawapan kerajaan berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Parlimen hari ini, mempersoalkan bagaimana kontrak asal bernilai RM9.128 bilion untuk enam kapal berubah menjadi RM11.227 bilion untuk hanya lima kapal selepas penstrukturan semula.
Ini bermakna kos meningkat RM2.099 bilion, sedangkan jumlah kapal berkurang satu.
Chong berkata kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka mengapa kos meningkat, siapa yang meluluskan perubahan tersebut dan sama ada wang rakyat digunakan untuk menanggung kelemahan keputusan terdahulu.
Lebih penting, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memastikan siasatan terhadap projek itu benar-benar menyeluruh, termasuk meneliti keputusan perolehan, pembayaran, perubahan kontrak serta peranan setiap pihak yang terlibat.
“Jika siasatan menyeluruh dijalankan dengan segera dan bersungguh-sungguh, kes ini boleh ‘kasi bungkus’ sejak lima tahun lalu, dengan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Pada masa sama, projek LCS terus berdepan persoalan kelewatan.
Setakat 25 Jun 2026, bayaran terkumpul di bawah kontrak utama mencecah RM8.557 bilion, manakala kemajuan fizikal keseluruhan hanya 78.99 peratus berbanding sasaran 86.54 peratus.
LCS 1 pula direkodkan lewat 108 hari dan cadangan penyerahannya dianjakkan kepada 19 April 2027, jauh selepas tarikh kontrak asal 26 Ogos 2026.
Namun, isu paling besar bukan sekadar bila kapal diserahkan — tetapi apakah kapal itu benar-benar memiliki keupayaan tempur seperti yang dijanjikan.
Chong membangkitkan amaran audit bahawa sekiranya perolehan semula persenjataan diperlukan, keupayaan penuh berpotensi hanya dicapai pada Disember 2035.
Beliau menegaskan perkara itu perlu dijawab kerajaan kerana sebuah kapal yang diserahkan secara fizikal tidak semestinya bermakna seluruh sistem tempur dan persenjataannya sudah lengkap.
“Majlis penyerahan tidak boleh menggantikan kesiapsiagaan tempur,” katanya.
Chong turut menggesa kerajaan menjelaskan siapa yang akan menanggung kos kerja berbaki, penyelenggaraan tambahan dan integrasi sistem persenjataan serta memastikan hak kerajaan menuntut ganti rugi di bawah kontrak tidak terjejas.
Dalam perbahasan itu, beliau turut membangkitkan persoalan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tanggungjawab politik dan pentadbiran ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan dan keputusan awal projek LCS dibuat.
Chong merujuk surat Boustead Naval Shipyard bertarikh 8 Julai 2010 yang mengandungi arahan Zahid, “SUB Perolehan, sila laksanakan.”
Menurut beliau, rekod berkenaan perlu dijelaskan dari segi keputusan yang dibuat, proses pengawasan serta bagaimana kepentingan TLDM dan wang rakyat dilindungi.
Pada 2010, arahannya “sila laksanakan”. Pada 2026, rakyat masih bertanya: bila kapal-kapal ini benar-benar boleh beroperasi dengan keupayaan penuh?
Bagi Chong, kerajaan kini perlu memberikan jawapan yang lebih daripada sekadar tarikh penyerahan — termasuk menjelaskan RM2.099 bilion kos tambahan, status sebenar persenjataan, kelewatan projek dan perkembangan siasatan SPRM.
LCS sepatutnya menjadi aset pertahanan negara. Tetapi selepas 15 tahun, persoalan mengenai kos, kelewatan dan keupayaan tempur masih belum terlerai.
Rakyat bayar lebih. Kapal berkurang. Siap pun belum tentu lengkap. Kini jawapan dan pertanggungjawaban tidak boleh lagi ditangguhkan.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.