Dulu sibuk dengan gelombang biru, kini pentadbiran Negeri Sembilan berdepan situasi luar biasa apabila Belanjawan 2027 terpaksa disediakan tanpa barisan Exco kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan belanjawan negeri tetap akan dibentangkan pada 27 November ini walaupun jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih kosong.
Malah, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya bermula 16 Oktober terpaksa ditangguhkan ke penghujung November bagi memberi ruang menyediakan belanjawan tersebut.
Keadaan ini berlaku selepas pelantikan 10 Exco dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan isu pelanggaran sumpah jawatan dalam kemelut institusi diraja negeri itu.
Kini Ismail memaklumkan pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dengan ketua-ketua jabatan mengambil tanggungjawab melaksanakan urusan portfolio yang sebelum ini dikendalikan Exco.
Beliau turut merancang mengadakan sesi konsultasi bersama kesemua 25 ADUN kerajaan bagi mendapatkan pandangan sebelum belanjawan dibentangkan.
Bagaimanapun, perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai kestabilan pentadbiran negeri selepas kemelut yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Daripada pertikaian kedudukan Tuanku Muhriz, pembatalan pelantikan Exco, sehinggalah kini belanjawan negeri perlu dibentangkan tanpa barisan Exco.
Ironinya, ketika rakyat mengharapkan kerajaan baharu memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan, pentadbiran negeri masih bergelut dengan kesan krisis politik dan perlembagaan.
Gelombang biru mungkin sudah berlalu.
Tetapi bagi Negeri Sembilan, persoalannya sekarang ialah bila ‘hari-hari biru’ pentadbiran ini akan berakhir?

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.