KAH KAH KAH...


Amir Zuhair




 Secara asasnya, jika Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lassim, benar-benar berpendirian bahawa penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz adalah sah dan telah memenuhi segala syarat yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sehingga sanggup mengutus surat kepada Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, mengapa beliau masih perlu menunggu penetapan tarikh daripada Istana Tuanku Muhriz bagi istiadat perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri?


Bukankah beliau boleh sahaja menjemput Tunku Nadzaruddin bersama Undang Yang Empat yang menyokong pendirian beliau untuk menyempurnakan istiadat perasmian sidang DUN tersebut? Mengapa masih perlu merujuk kepada Tuanku Muhriz untuk merasmikannya?


Persoalan ini menimbulkan percanggahan yang cukup besar antara pendirian yang telah diambil dengan tindakan yang dilakukan.


Jika benar Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, mengapa institusi pentadbiran negeri masih merujuk kepada baginda bagi urusan rasmi sedemikian?


Keadaan ini menimbulkan persoalan serius tentang kesahan proklamasi yang telah ditandatangani oleh Menteri Besar serta kedudukan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.


Sebagai salah seorang anak waris Jelebu, saya ingin menasihati Dato’ Menteri Besar agar mempertimbangkan untuk menarik balik segala surat dan proklamasi yang telah Dato’ tandatangani berhubung perkara ini.


Mohonlah menghadap DYMM Tuanku Muhriz dan menyembahkan permohonan maaf kepada baginda.


Insya-Allah, langkah ini bukanlah suatu kekalahan, sebaliknya suatu tindakan yang mencerminkan kebijaksanaan, keinsafan dan keutamaan terhadap kestabilan institusi beraja, pentadbiran negeri serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.


Semoga Allah SWT sentiasa memelihara DYMM Tuanku Muhriz, melindungi institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada segala ancaman dan menggagalkan setiap usaha yang berniat jahat terhadap baginda.


Daulat Tuanku!




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.