HAAAA..HELOK....PAKAT BALIK SEMUA

 

Pemuda MCA suruh berhijrah, Ridhuan Tee berang balas ‘siapa kena balik China dulu’

Polemik antara Pemuda MCA dan pendakwah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah semakin panas apabila cadangan supaya beliau melepaskan kewarganegaraan dan berhijrah dibalas dengan persoalan “siapa kena balik China dulu”.

Pertikaman lidah itu tercetus selepas Timbalan Pengerusi Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan, kelmarin mengkritik keras Ridhuan susulan tuduhan pendakwah berkenaan kononnya pemimpin kerajaan bersikap hipokrit dan sekadar wayang apabila menghadiri majlis pengebumian Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Pemuda MCA berkenaan menegaskan bahawa Ridhuan tidak sepatutnya menggunakan saat berkabung negara untuk membina naratif permusuhan terhadap pihak lain.

Chong turut mengungkit beberapa kenyataan Ridhuan sebelum ini termasuk berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam bahan penerbangan Malaysia Airlines, gegantung Perayaan Hantu Lapar serta pandangannya terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Beliau juga menyifatkan Ridhuan sering mengheret isu kepada sentimen etnik, bahasa dan identiti, selain mendakwa pendekatan sedemikian hanya menyemarakkan permusuhan dalam masyarakat majmuk.

Melepaskan kewarganegaraan

Susulan itu, Chong menyarankan Ridhuan supaya melepaskan kewarganegaraan Malaysia secara sukarela dan berhijrah jika merasakan dirinya tidak mampu menerima kehidupan dalam negara yang aman, pelbagai dan inklusif.

Namun, bekas pensyarah di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkenaan tidak membiarkan kenyataan itu berlalu tanpa balasan.

Dalam reaksinya pada hari sama, beliau menegaskan kepelbagaian di negara ini perlu mempunyai “induk” yang terdiri daripada Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Kepelbagaian kena ada induknya iaitu Islam/Melayu/Bumiputera.

“MCA kena faham ini dulu, lepas tu baru kita cakap siapa kena balik China dulu…” ujarnya.

Dilihat masih tidak berpuas hati dengan MCA, Ridhuan semalam menempelak lagi MCA yang pernah menang hanya satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“MCA ni siapa? Bertanding pilihan raya menang satu dua kerusi je?

“Itu pun harap undi Melayu je bagi dia menang. Kalau tidak kosong. Tiba-tiba suruh saya berhijrah, serah kerakyatan.

“Bangsa mana paling ramai tinggalkan Malaysia?” sindirnya menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, pada PRU14 dalam 2018, MCA bertanding 39 kerusi Parlimen tetapi menang hanya satu kerusi, iaitu Ayer Hitam, Johor, melalui Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti tipis 303 undi.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.