F1: Harga ‘Cekik Darah’, KPDN Digesa Siasat Harga Makanan, Minuman Melampau

 

IMG_7139

Antara harga makanan dan minuman yang dijual agak tinggi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 Oktober 2026. Foto Threads

SEPANG, 3 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa segera memantau harga makanan dan minuman yang dijual di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) susulan dakwaan berlaku kenaikan harga keterlaluan sempena penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air 2026 yang berlangsung 2 hingga 4 Oktober ini.

Laporan media mendedahkan sepinggan nasi lemak bersama telur goreng dijual pada harga RM35, manakala nasi ayam dan mi segera turut dijual pada RM30 sepinggan.

Hidangan buah potong pula mencecah RM20, menjadikan perbelanjaan empat pengunjung yang memilih nasi lemak sahaja mencecah RM140, tidak termasuk minuman atau makanan tambahan.

Antara jenis makanan yang dijual dengan harga keterlaluan di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 Oktober 2026. Foto Threads

Harga sebegini jauh lebih tinggi berbanding kadar lazim di luar kawasan acara, mencetuskan bualan hangat dalam kalangan netizen.

Walaupun sebahagian orang ramai menganggap kenaikan ini selari dengan kos menghadiri acara antarabangsa berprestij, membandingkannya dengan harga makanan di lapangan terbang, hotel dan festival makanan.

Isu ini tetap wajar dipantau KPDN bagi memastikan tiada unsur pencatutan atau eksploitasi pengguna berlaku, khususnya memandangkan pengunjung turut menanggung kos tiket, pengangkutan dan cenderamata yang tinggi.

KPDN sememangnya menyeru orang ramai membuat aduan rasmi sekiranya menyaksikan kenaikan harga mendadak oleh peniaga, berbanding hanya melampiaskan kemarahan di media sosial, kerana penguatkuasa KPDN berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar undang-undang pencatutan apabila menerima maklumat lengkap.

Pemantauan proaktif amat penting bagi acara berskala besar seperti ini, memandangkan ura-ura kenaikan harga keterlaluan sering berulang pada setiap musim perayaan atau acara besar negara.

Tindakan tegas dan konsisten KPDN, termasuk penguatkuasaan tanda harga jelas oleh semua vendor, akan memastikan imej Malaysia sebagai destinasi acara antarabangsa tidak tercalar akibat sentimen negatif berkaitan eksploitasi harga terhadap pengunjung tempatan mahupun pelancong asing.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.