Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menempelak Ahli Parlimen PAS, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, yang didakwa tidak membuat kerja rumah sebelum membangkitkan isu berkaitan pengurusan kewangan Tabung Haji, khususnya peranan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJCSB).
Beliau berkata, Ahmad Marzuk sepatutnya meneliti laporan tinjauan fiskal kerajaan yang dibentangkan bersama Belanjawan sebelum membuat sebarang dakwaan berhubung komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah kewangan berkenaan.
Menurut Mujahid, kedudukan UJCSB sebagai syarikat tujuan khas yang mempunyai kaitan dengan komitmen jaminan kerajaan telah dinyatakan dalam laporan tinjauan fiskal, termasuk senarai syarikat yang mempunyai kepentingan kerajaan di bawah jaminan dan komitmen berkenaan.
“Lain kali jangan boikot sidang, jangan lari daripada guru. Kalau malas pergi kelas, baca-bacalah laporan yang dibentangkan setiap tahun di atas meja ahli Parlimen. Jawapannya ada di situ,” katanya.
Mujahid menjelaskan bahawa mandat UJCSB bukan semata-mata untuk mencatat keuntungan, sebaliknya memulihkan aset yang dipindahkan kepadanya dan menjana pulangan kewangan bagi membantu menyelamatkan institusi Tabung Haji.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Ahmad Marzuk membangkitkan isu itu sedangkan Ahli Parlimen PAS berkenaan pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ketika Tabung Haji berada di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.
Katanya, laporan kewangan Tabung Haji menunjukkan institusi itu menerima hampir RM630 juta secara tunai sepanjang tempoh 2020 hingga 2024.
Selain itu, Mujahid berkata, kenyataan rasmi Tabung Haji pada Julai lalu turut menyebut pemulihan dan pemulangan dua aset melalui UJCSB, iaitu tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai kira-kira RM273 juta serta UJ Estate Holdings bernilai sekitar RM693 juta.
Menurutnya, nilai kedua-dua aset itu berjumlah kira-kira RM966 juta. Jika dicampurkan dengan bayaran tunai RM630 juta, jumlah keseluruhan yang dinyatakan menghampiri RM1.6 bilion.
Mengulas isu sukuk yang matang pada Mei 2026, Mujahid berkata pembiayaan semula baki kira-kira RM11 bilion oleh kerajaan di bawah pentadbiran MADANI perlu difahami dalam konteks usaha berperingkat untuk menyelesaikan beban kewangan Tabung Haji.
Beliau menjelaskan sukuk baharu itu menawarkan pulangan berkupon sekitar empat peratus setahun kepada Tabung Haji, yang menurut anggarannya boleh memberikan pulangan lebih RM400 juta setahun.
Katanya, pembiayaan semula itu bukan perkara baharu kerana UJCSB sebelum ini turut melalui proses pembiayaan semula bagi memenuhi mandatnya memulihkan aset dan menguruskan beban kewangan yang diwarisi.
Mujahid menegaskan, pendekatan tersebut perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pemulihan aset dan keupayaan memastikan kelangsungan Tabung Haji sebagai institusi penting umat Islam.
Beliau berkata, UJCSB diwujudkan untuk menangani beban kewangan dan aset bermasalah yang timbul dalam tempoh 2014 hingga 2017, justeru sokongan kerajaan diperlukan bagi membolehkan proses pemulihan dilaksanakan.
“Begitulah cara kita nak selamatkan institusi umat Islam. UJCSB menanggung beban ini dan kerajaan membantu supaya aset-aset berkenaan dapat dipulihkan,” katanya.
Mujahid sekali lagi mengingatkan ahli Parlimen supaya meneliti laporan kewangan dan dokumen rasmi kerajaan sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai isu Tabung Haji, sambil menegaskan bahawa maklumat berkaitan perkara itu boleh dirujuk dalam laporan yang tersedia kepada umum.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.