Misi solidariti Palestin bakal diperluas ke layar televisyen apabila Kementerian Komunikasi menyatakan kesediaan membantu menerbitkan mini siri berdasarkan perjuangan Sumud Flotila bagi menyampaikan mesej kemanusiaan kepada khalayak lebih luas.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya bersedia memberikan sokongan bagi merealisasikan projek yang diterajui Datuk Sani Arabi bersama pasukan Sumud Nusantara dan Global Sumud Movement.
Menurutnya, penerbitan itu merupakan inisiatif media positif untuk mengetengahkan isu kemanusiaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perjuangan rakyat Palestin.
“Saya amat menyokong usaha Datuk Sani dan pasukan yang akan menerbitkan satu program, satu siri TV yang diberi nama Sumud Protokol.
“Kita akan bekerjasama untuk pastikan naskhah ini dapat diterjemahkan menjadi sebuah mini siri dan akan ditayangkan, insya-Allah, setelah ia siap dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sumud Nusantara di Bangi malam tadi, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi berkata, sokongan terhadap perancangan itu turut mendapat perhatian beberapa pemimpin lain, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Dr. Taufiq Johari dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain membantu merealisasikan penerbitan, katanya, Kementerian Komunikasi juga bersedia menyokong usaha promosi serta memperluas perbincangan mengenai siri berkenaan menerusi platform media sosial.
Usaha itu diharap dapat membawa mesej Sumud Flotila kepada lebih ramai penonton, sekali gus memperkukuh kesedaran mengenai isu kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin.
Melalui pendekatan penceritaan di layar televisyen dan penyebaran kandungan digital, perjuangan solidariti Palestin berpeluang menjangkau khalayak yang lebih luas, khususnya mereka yang mungkin tidak mengikuti perkembangan misi berkenaan secara dekat.
BACA JUGA Tak perlu keluar duit, orang ramai boleh ikut kursus Google, IBM dan Meta percuma melalui Rakyat Digital
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.