Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus wakilnya menziarahi Editor Kanan akhbar Tamil Makkal Osai, Rajan Boopalan, yang kini dirawat di Hospital Selayang selepas menerima khabar wartawan veteran itu mengalami darah beku di kepala.
Kunjungan pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu turut disertai penyerahan sumbangan bagi meringankan beban Rajan dan keluarganya sepanjang tempoh rawatan.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar memaklumkan beliau telah mengarahkan beberapa pegawai PMO untuk mewakilinya menziarahi wartawan berkenaan.
Menurut beliau, kunjungan itu bukan sahaja bertujuan bertanya khabar dan menyampaikan salam, malah turut disertai pemberian sumbangan bagi membantu meringankan beban Rajan serta keluarganya.
“Beberapa pegawai Pejabat Perdana Menteri telah mewakili saya menziarahi beliau di Hospital Selayang hari ini (semalam).
“Selain bertanya khabar dan menyampaikan salam saya, mereka turut menyerahkan sumbangan bagi pihak saya untuk meringankan beban beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut menitipkan doa agar Rajan diberikan kesembuhan segera dan segala urusan rawatannya dipermudahkan.
“Saya mendoakan agar saudara Rajan diberikan kesembuhan segera, dipermudahkan segala urusan rawatan dan kembali pulih seperti sedia kala.
“Semoga beliau dan keluarga diberi kekuatan untuk mengharungi saat yang mencabar ini,” kata Anwar lagi.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.