Belanjawan 2027 Perkukuh Kuasa Ekonomi Bumiputera – Saifuddin Shafi

 

IMG_7999

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Shafi Muhammad.

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Belanjawan 2027 memperkukuh kuasa ekonomi Bumiputera menerusi peningkatan perolehan kerajaan untuk kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion sebelum ini, selain pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pemilikan aset dan pembinaan kekayaan jangka panjang.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan agenda pembangunan Bumiputera diterjemahkan melalui dasar dan peluang ekonomi yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, agenda Bumiputera perlu melangkaui pemberian bantuan semata-mata dengan memberi tumpuan kepada pemilikan aset, pengembangan perniagaan serta keupayaan menguasai industri berpertumbuhan tinggi.

“Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan Madani 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggembleng RM510 bilion melalui perbelanjaan Persekutuan dan pelbagai pelaburan berkaitan.

“Dalam mendepani ketidaktentuan global, kemajuan negara mesti diterjemahkan kepada peluang ekonomi, pendapatan lebih baik dan kehidupan yang bermaruah,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin Shafi berkata, agenda berteraskan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) turut diperkukuh melalui penyediaan tanah strategik seluas 50 ekar bernilai RM1 bilion sebagai endowmen kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra.

Selain itu, menurutnya, pembangunan sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah Madani di Belfield, dengan 70 peratus dikhususkan kepada Bumiputera, dilihat sebagai langkah memperluas peluang pemilikan kediaman dan membina aset untuk jangka panjang.

Katanya, usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera turut disokong sasaran perolehan RM58 bilion oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS, pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui TERAJU, RM500 juta menerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta pelaburan RM2 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Matlamatnya jelas, iaitu melahirkan generasi Bumiputera yang bukan sahaja menyertai ekonomi, tetapi mampu memiliki, menerajui dan menguasai industri masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata, peluang pembiayaan dan perolehan itu perlu dimanfaatkan untuk membangunkan syarikat Bumiputera yang lebih berdaya saing, meningkatkan produktiviti serta mengembangkan operasi ke pasaran lebih besar.

Menurutnya, kejayaan agenda berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan melahirkan lebih banyak perusahaan yang kukuh dan mampu bertahan dalam persaingan pasaran.

Dalam aspek pembangunan modal insan, Saifuddin Shafi berkata, peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentasi kementerian serta inisiatif MARA untuk melatih dan menempatkan 1,000 belia Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi penting bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran.

Katanya, pendidikan dan latihan perlu diselaraskan dengan keperluan industri supaya golongan muda Bumiputera berpeluang memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi serta menceburi bidang baharu, termasuk teknologi.

Pada masa sama, beliau menyambut baik peruntukan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif, termasuk RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan mengimbangi pertumbuhan ekonomi, disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat, dengan sasaran defisit fiskal dikurangkan kepada 3.3 peratus, perlu disokong pelaksanaan dasar yang berkesan.

Bagaimanapun, Saifuddin Shafi menegaskan kementerian, agensi dan GLC perlu memastikan setiap peluang disalurkan secara telus, cekap dan tanpa kerenah birokrasi, selaras dengan usaha memperkukuh ketelusan perolehan kerajaan mulai 2027.

“Pemerkasaan Bumiputera tidak harus dipertentangkan dengan kemajuan masyarakat lain, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada usaha membina ekonomi negara yang adil dan berdaya saing.

“Yang penting, peluang ini mesti menghasilkan perubahan sebenar supaya lebih ramai Bumiputera mampu memiliki aset, membina perniagaan mampan dan mewariskan kekuatan ekonomi kepada generasi seterusnya,” tegasnya.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.