Kalau bab membaca nas agama untuk menuduh kerajaan orang lain zalim, ustaz-ustaz PAS memang cukup laju.
Siap keluar hukum haram menyokong kezaliman. Siap petik hadis ancaman tidak masuk syurga terhadap pemimpin yang menipu rakyat.
Tetapi bagaimana kalau perkara yang mereka selalu tuduh kepada orang lain itu berlaku dalam kerajaan sendiri?
Inilah cerita 348 peneroka FELCRA Bukit Tandak, Kelantan.
Mereka bukan baru semalam meneroka tanah. Sejak tahun 1960-an lagi tanah itu diusahakan. Pada 1982, peserta rancangan berkenaan diberikan pegangan enam ekar seorang.
Ketika Allahyarham Tok Guru Nik Aziz masih menjadi Menteri Besar, pegangan enam ekar itu mahu dikekalkan. Menurut Husam Musa, arahan Menteri Besar pada 2013 juga mengekalkan keluasan tersebut.
Tetapi selepas Tok Guru tidak lagi menjadi Menteri Besar, lain pula ceritanya.
Pada 2014, kerajaan PAS Kelantan membuat keputusan memasukkan 209 nama peserta tambahan.
Daripada enam ekar, pegangan yang dicadangkan kepada peneroka asal tinggal tiga ekar seorang.
Bayangkan tanah yang diusahakan berpuluh-puluh tahun, tiba-tiba mahu dikurangkan separuh.
Alasan kerajaan negeri, kononnya mahu berlaku adil kepada peneroka lain yang terpinggir.
Tetapi adil kepada orang baharu, bagaimana pula dengan hak orang lama?
Belum habis pertikaian, pada 2019 pokok-pokok getah pula ditebang oleh kontraktor yang dilantik kerajaan negeri.
Pokok yang ditanam, dijaga dan ditoreh selama bertahun-tahun menjadi sumber rezeki keluarga peneroka.
Waktu itu, Mohd Amar selaku Timbalan Menteri Besar menegaskan kerajaan Kelantan tidak bertindak zalim.
Maklumlah, kerajaan sendiri. Mana mungkin zalim!
Tetapi pada 5 Oktober 2026, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan tender penebangan pokok getah itu tidak sah dan mengarahkan Kerajaan Kelantan bersama Pentadbir Tanah Pasir Mas membayar ganti rugi RM17.46 juta kepada 348 peserta.
Kerajaan negeri sudah menyatakan hasrat untuk merayu. Jadi keputusan itu belum muktamad.
Sekarang kita teringat pula Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Pada Disember 2025, beliau menulis panjang tentang haramnya bersimpati kepada kezaliman. Antaranya menyentuh soal menafikan hak orang yang berhak.
Ketua Dewan Ulamak PAS, Ahmad Yahaya pula pernah memetik hadis tentang pemimpin yang menipu rakyat sehingga diancam dengan syurga diharamkan ke atasnya.
Hebat sungguh peringatan agama mereka.
Cuma kita hendak tanya satu perkara.
Nas tentang kezaliman itu hanya terpakai kepada Kerajaan MADANI sahaja ke?
Kalau hak rakyat dinafikan oleh kerajaan orang lain, cepat sahaja keluar ayat al-Quran dan hadis.
Tetapi apabila kerajaan PAS sendiri diperintahkan membayar pampasan berjuta-juta ringgit kepada peneroka, apa pula nas yang ustaz-ustaz PAS mahu baca?
Kita tidak menghukum siapa masuk syurga atau neraka. Itu urusan Allah.
Tetapi kalau benar mahu bercakap tentang keadilan Islam, janganlah pilih bulu.
Sebab kezaliman tidak tiba-tiba menjadi halal hanya kerana pelakunya memakai kopiah dan datang daripada parti sendiri.
#AhmadMursi

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.