521kg syabu dalam jet dari Subang! PDRM tegaskan bukan dari Malaysia

 


Rampasan 521 kilogram (kg) methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Laos pada 1 Oktober lalu tidak mempunyai kaitan dengan sumber dadah dari Malaysia, sebaliknya bahan terlarang itu dipercayai dimuatkan selepas pesawat berkenaan tiba di negara tersebut untuk dihantar ke Manila, Filipina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata jet yang disewa khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju ke Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.

Menurutnya, dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat selepas ia tiba di Laos dan dipercayai untuk pasaran di Manila, bukannya Malaysia.

“Dadah yang dirampas itu untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya Malaysia.

“Pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Luang Prabang tanpa sebarang kargo. Dadah berkenaan hanya dimuatkan ke dalam pesawat setibanya di Laos dan dipercayai untuk dihantar ke Manila,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, PDRM dimaklumkan pihak berkuasa Laos mengenai kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan dadah rentas sempadan berskala besar itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.

Katanya, pesawat terbabit berlepas dari Subang membawa tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina sebelum tiba di Luang Prabang kira-kira jam 11.30 pagi.

“Kira-kira jam 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di lapangan terbang dan beberapa kakitangan lapangan terbang membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat.

“Pemeriksaan terhadap beg terbabit membongkar penemuan 500 bungkusan mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 521kg,” katanya.

Susulan penemuan itu, seramai 13 individu termasuk seorang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan.

Selain tiga individu yang menaiki pesawat berkenaan, tiga pekerja syarikat pengendalian darat serta tujuh kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang yang bertanggungjawab mengendalikan mesin pengimbas sinar-X turut ditahan.

Hussein berkata, semua 13 individu terbabit ditahan pihak berkuasa Laos untuk siasatan lanjut, manakala PDRM turut membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah di Malaysia.

Beliau berkata, beberapa pegawai JSJN akan dihantar ke Laos bagi menjalankan sesi temu bual dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket terbabit, termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang hubungan dengan rangkaian di Malaysia.

Terdahulu, polis Laos dilaporkan merampas 521kg crystal methamphetamine daripada jet peribadi yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang selepas berlepas dari Malaysia, sekali gus membawa kepada penahanan 13 individu.

Menurut laporan Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper, operasi itu dijalankan selepas polis wilayah menerima maklumat risikan pada 21 September mengenai satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang penyeludupan narkotik merentasi sempadan menggunakan pesawat peribadi. 

Pemeriksaan dan tindakan susulan kemudian membawa kepada penemuan muatan dadah berkenaan.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.