KENYATAAN MEDIA
PENYELESAIAN ISU KELEWATAN BEKALAN BAJA 3 MADA
Isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula pada 3 September 2026.
Pada 27 Ogos 2026, saya telah mengemukakan surat kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, memohon supaya perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan berkenaan ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.
Pada masa yang sama, saya telah mencadangkan supaya Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.
Sukacita dimaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan tersebut. Sehubungan itu, penghantaran baki Baja 3 kepada pesawah yang terjejas akan bermula pada 3 September 2026 dan keseluruhan proses
penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari.
Saya juga telah mengarahkan MADA supaya proses ini dipantau secara rapi sehingga
bekalan benar-benar sampai kepada pesawah. Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah.
KPKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor
pengeluaran makanan negara.
Sekian, terima kasih.
DATUK SERI HAJI MOHAMAD SABU
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
MAEPS Serdang, Rabu 2 September 2026


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.