Politik identiti yang terlalu memainkan sentimen agama dan kaum dibimbangi terus menenggelamkan perbahasan mengenai prestasi ekonomi, tadbir urus serta masa depan rakyat.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berpendapat kenyataan beberapa penyokong dan ahli Pas yang tular di media sosial memperlihatkan bagaimana pemikiran politik boleh menjadi jumud apabila sentimen mengatasi pertimbangan fakta dan rasional.
Beliau berkata demikian mengulas rakaman video tular memaparkan kenyataan seorang ahli Pas yang mempersoalkan mengapa sesuatu pembedahan tidak dilakukan kemudian serta video seorang wanita yang mendakwa tidak boleh mengundi Umno kerana parti itu “kafir sampai kiamat”
Norman turut merujuk satu lagi rakaman yang memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Yang di-Pertuan Agong yang lebih membimbangkan apabila kenyataan tersebut menerima ribuan tanda suka.
Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai petanda bahawa batas adab dan penghormatan terhadap institusi negara boleh terhakis apabila fanatisme politik dibiarkan tanpa kawalan.
Mengulas naratif politik berbentuk “undi Umno masuk neraka, undi Pas masuk syurga”, beliau berpendapat persaingan politik Malaysia terlalu tertumpu kepada soal identiti dan agama.
Katanya, ketika kempen sepatutnya membincangkan ekonomi, kemiskinan, peluang pekerjaan dan tadbir urus, sebahagian rakyat sebaliknya terus diseret kepada ketakutan berasaskan kaum dan agama.
“Di dunia ini hanya di Malaysia berkempen siapa nak masuk syurga siapa nak masuk neraka. Ekonomi dan tadbir urus langsung tidak dibicarakan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu antara faktor yang membolehkan sesuatu parti meraih sokongan tanpa perlu menawarkan hujah ekonomi yang mendalam, apabila sentimen identiti sudah cukup kuat untuk menentukan pilihan pengundi.
Malah, Norman berpendapat masyarakat boleh menjadi kurang sensitif terhadap isu penyelewengan atau kerugian institusi awam apabila perhatian mereka terlalu lama dialihkan kepada polemik kaum dan agama.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.