‘
Penahanan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan wang pelaburan dan saham bernilai kira-kira RM190 juta mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan terhadap pihak lain yang mungkin berkaitan.
Bekas CEO berusia lingkungan 60-an itu direman tujuh hari sehingga 27 Ogos selepas SPRM memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.
Beberapa pihak menyifatkan penahanan berkenaan sebagai permulaan sahaja, dengan seorang netizen berkata, “big boss at the back. this is just a small potato.”
Seorang lagi pula mempersoalkan sama ada hanya seorang individu akan dikenakan tindakan susulan pelbagai isu yang didedahkan dalam laporan RCI, termasuk pelaburan bermasalah yang menyebabkan kerugian besar kepada TH.
Reaksi it muncul ketika laporan RCI yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan kewangan, tadbir urus dan keputusan pelaburan institusi berkenaan.
Laporan it merekodkan kewujudan transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat dalam aspek tertentu dan mengesyorkan audit forensik terhadap keputusan pelaburan terdahulu.
Antara dapatan paling ketara RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya.
RCI turut mendapati kedudukan defisit aset-liabiliti TH meningkat antara 2014 hingga 2017, manakala pendekatan pengagihan keuntungan dalam tempoh berkenaan tidak mematuhi Seksyen 22 Akta Tabung Haji apabila agihan keuntungan sepatutnya dibuat daripada keuntungan sebenar, bukannya dana pendeposit.
Lebih membimbangkan, Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan telah mengeluarkan lima surat amaran kepada Pengerusi TH dan menteri yang bertanggungjawab berhubung kedudukan kewangan, rizab serta pengurusan kecairan institusi itu.
Dalam tempoh yang turut merangkumi era pentadbiran Barisan Nasional (BN), RCI mengenal pasti 14 pelaburan bermasalah yang dikaitkan dengan kerugian berbilion ringgit.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah berkenaan mengalami kerugian 100 peratus nilai pelaburan, termasuk Al-Rawda bernilai RM1.8 bilion, Putrajaya Perdana RM193 juta dan Trurich Resources RM364 juta.
Justeru, penahanan terbaharu itu dilihat rakyat sebagai peluang untuk SPRM meneliti secara menyeluruh siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan-keputusan terdahulu, termasuk sama ada terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
Bagaimanapun, perintah reman hanyalah bagi memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan dan tidak bermaksud individu berkenaan telah didapati bersalah.
Setakat ini, SPRM dilaporkan telah menahan lapan individu bagi membantu siasatan berkaitan isu RCI TH, selepas tujuh individu termasuk empat bekas pengurusan kanan TH ditahan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.