Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Melaka.
Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Keputusan ADUN Merlimau itu sekali gus menyahut desakan pemimpin DAP yang sebelum ini menuntutnya mengambil pendirian sedemikian, susulan gesaan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Dr Akmal berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai EXCO (kerajaan negeri) berkuat kuasa minggu depan. Tapi kalau ada orang cakap dengan saya, saya lari daripada perjuangan (Pemuda UMNO), tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda UMNO hari ini.
"Bagi saya, jawatan dalam kerajaan tidak penting, tapi apa yang lebih penting adalah maruah, prinsip dan suara akar umbi ini," katanya," katanya.
Semalam, media melaporkan Dr Akmal mengakui sudah meluahkan hasrat dan isi hati ketika bertemu Ahmad Zahid serta berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri itu kerana sudi mendengar luahan hati beliau.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.