
Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka akan dirunding dalam masa terdekat.
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) dijangka akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkaitan kerjasama itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa pilihan raya gabungan berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan tersebut akan melibatkan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Itu memang jawatankuasa bincang pihak kita. Kita ada Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dengan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berbincang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit 2026 di sini hari ini.
Menurut laporan sebelum ini, Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN negeri itu.
Saifuddin yang juga Pemangku Timbalan Presiden KEADILAN berkata, pertemuan tersebut berkemungkinan diadakan selepas Ab Rauf pulang daripada lawatan kerja di New Zealand.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Melaka.
Menurutnya, rundingan termasuk kemungkinan pertukaran kawasan boleh dilakukan selagi ia dilaksanakan secara jujur dan ikhlas.
PRN Melaka dijangka menjadi antara ujian penting kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya PH dan BN selepas kedua-dua gabungan itu menjalin kerjasama di peringkat Persekutuan.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.