Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin membuka ruang untuk membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang semakin hampir.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui hubungan rapatnya dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi ruang kepada mereka untuk berhubung dan bertukar pandangan mengenai perkembangan politik semasa, termasuk kemungkinan kerjasama pada pilihan raya negeri akan datang.
Menurut Saifuddin, beliau dan Ab Rauf merupakan sahabat lama dan sering berhubung walaupun berada di lokasi berbeza.
Malah, beliau berseloroh bahawa setiap kali berada di Melaka, beliau akan singgah ke rumah Ab Rauf untuk menikmati asam pedas.
Namun di sebalik hubungan peribadi itu, Saifuddin memberi bayangan bahawa apabila PRN semakin dekat, topik kerjasama PH-BN tidak mustahil akan turut dibawa ke meja perbincangan.
Pendirian itu selari dengan kenyataan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk berunding dengan mana-mana pihak.
Dalam masa sama, Ab Rauf turut membuka pintu BN Melaka seluas-luasnya menerusi formula BN Plus.
Ini menjadikan PRN Melaka semakin menarik kerana rundingan kali ini bukan lagi sekadar soal siapa bertanding di mana, tetapi siapa sanggup mengetepikan persaingan lama demi membina formula kemenangan baharu.
Jika PH dan BN benar-benar duduk semeja, Melaka berpotensi menjadi satu lagi ujian besar kepada formula Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
Persoalannya kini bukan lagi “boleh atau tidak mereka bekerjasama”, tetapi “berapa harga politik yang perlu dibayar untuk mencapai kesepakatan?”.
Dalam politik, sahabat boleh menjadi rakan strategik, tetapi apabila sampai ke meja rundingan kerusi, persahabatan akan diuji dengan satu perkara paling sensitif siapa dapat apa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.