
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI di UiTM Permatang Pauh pada 29 Ogos 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PERMATANG PAUH, 29 Ogos – Setiap rakyat tanpa mengira latar belakang kaum perlu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, namun pada masa sama, penguasaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin dan Tamil terus diperkukuh bagi meluaskan peluang pendidikan serta ekonomi.
Pun begitu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memartabatkan Bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi negara, tidak seharusnya dilihat sebagai langkah menyisihkan penguasaan bahasa lain.

“Kita juga tahu Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang berkembang sebagai bahasa penting di dunia, maka sistem kita harus menerima, bukan menggantikan bahasa Melayu tetapi melengkapi,” katanya.
Pesanan tersebut disampaikan Anwar ketika berucap pada Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di UiTM Permatang Pauh hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penguasaan bahasa Mandarin kini semakin penting memandangkan kedudukannya sebagai antara bahasa ekonomi utama di rantau ini, selain rakyat juga berminat meningkatkan kemahiran dalam bahasa Tamil.
“Ia bukan ‘zero-sum game’. Saya galakkan anak-anak menguasai bahasa Cina dengan syarat penguasaan bahasa Melayu mereka mestilah cukup baik. Pelajari bahasa rantau ini tidak merugikan,” katanya.

“Memastikan kepentingan dan masa depan sendiri terjamin merupakan satu keperluan ekonomi. Ia bukan dilakukan dengan mengorbankan kepentingan bahasa Inggeris … sebaliknya untuk memberi peluang yang lebih luas bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi anda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak menanam bibit permusuhan antara kaum kerana keharmonian negara tidak boleh dianggap akan kekal selamanya tanpa usaha konsisten memelihara perpaduan.

Beliau menegaskan, semangat saling berkongsi, menyayangi dan membantu perlu diterapkan agar setiap rakyat tanpa mengira kaum dapat menikmati manfaat pembangunan negara secara inklusif.
Ini selaras dengan kerangka agenda Malaysia MADANI berteraskan enam rukun yang menekanan aspek akhlak dan pembangunan insan dengan sahsiah dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.