Meneruskan agenda sesi lawatan kerja rasmi saya di Pakistan, saya telah menghadiri mesyuarat dua hala bersama H.E. Syed Mohsin Raza Naqvi, Federal Minister for Interior and Narcotics Control of Pakistan di Islamabad; sekitar jam 7.00 petang waktu Malaysia semalam.
Saya merakamkan penghargaan atas jemputan, layanan mesra serta segala urusan yang diatur sepanjang lawatan rasmi ini, di samping menyampaikan salam daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau, di samping berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja. Pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa dialog, diplomasi dan kerjasama kekal sebagai asas penting dalam menghadapi cabaran keselamatan dan geopolitik yang semakin kompleks.
Sebagai Menteri yang memikul tanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri dan keselamatan, kami berkongsi pandangan bahawa hubungan erat Malaysia-Pakistan perlu disokong oleh kerjasama yang sama kukuh antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara. Pertemuan ini membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas.
Perbincangan meliputi pelbagai aspek keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim. Kedua-dua pihak turut bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan setiap bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Malaysia dan Pakistan telah sekian lama menjalin hubungan yang erat berasaskan persahabatan, saling menghormati dan kepercayaan. Dalam landskap keselamatan global yang semakin mencabar, kerjasama strategik seperti ini perlu terus diperkukuh agar kedua-dua negara sentiasa bersedia mendepani ancaman baharu yang merentasi sempadan. Saya yakin hubungan yang lebih erat antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia serta Pakistan akan terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau.
π²πΎπ€π΅π°
#MalaysiaMadani
#YakinMadani
#KementerianDalamNegeri
#SaifNasution





No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.