KERAJAAN CUBA KURANGKAN KEBERGANTUNGAN IMPORT BENIH

 







MELAKA: Usaha mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import input pertanian perlu bermula dari peringkat asas, termasuk memperkukuh pengeluaran benih tempatan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040 menerusi pembangunan varieti dan kapasiti pengeluaran benih tempatan.
Katanya, dua varieti jagung bijian tempatan, MZ1 dan MZ2 yang dibangunkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dijangka berada di pasaran seawal Mac 2027.
“Kita bukan sekadar nak hasilkan benih baharu.
“Kita nak pastikan benih itu boleh dikeluarkan, sampai kepada petani dan digunakan di ladang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Mohamad berkata, harga benih berkenaan juga diharap lebih kompetitif bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran pengusaha jagung bijian.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI kini melaksanakan program rintis outgrower membabitkan empat petani di Perlis, Kelantan dan Selangor bagi membangunkan kapasiti pengeluaran benih jagung bijian tempatan.
Katanya, peserta program itu akan menerima latihan, bimbingan teknikal, input serta pemantauan bagi memastikan pengeluaran benih dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Benih yang baik adalah permulaan kepada hasil yang baik.
“Daripada situ, kita bina sektor pertanian yang lebih kukuh dan negara yang kurang bergantung kepada sumber dari luar,” ujarnya.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.