JANGAN LAYAN TEROMPAH KAYU..

 


Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menutup tulisan panjang terbarunya dengan satu pesanan yang sangat baik: sesiapa yang mahu menjawab beliau hendaklah menggunakan “hujah yang sahih”, bukan berhujah tanpa ilmu, sebaliknya perlu secara tafaqquh fi al-din.






Nasihat yang cantik.


Cuma sebelum sampai kepada nasihat itu, pembaca terlebih dahulu disajikan dengan gelaran “terompah kayu” terhadap agamawan yang menurut Hadi digunakan untuk membela DAP.


Bukan itu sahaja. Dalam tulisan sama, beliau turut membawa istilah “syaitan bisu” terhadap mereka yang dianggap tidak bersuara, sebelum mengemukakan ayat al-Quran mengenai perumpamaan seperti anjing dalam perbahasan mengenai golongan berilmu yang menurut hawa nafsu.


Akhir sekali, barulah datang pesan: jawablah dengan ilmu.


Mungkin inilah kaedah baharu perbahasan ilmiah yang belum sempat masuk silibus universiti — labelkan dahulu orang yang berbeza pandangan, kemudian minta mereka membalas dengan penuh adab dan tafaqquh.


Lebih menarik, polemik ini tercetus ketika beberapa agamawan menjelaskan bahawa orang bukan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya dihukum sebagai kafir harbi hanya kerana berbeza pendirian atau pandangan politik.


Perbezaan pandangan dalam fiqh sepatutnya dijawab dengan dalil, konteks nas, maqasid dan realiti semasa. Kalau seseorang ulama tersilap, tunjukkan di mana silapnya. Kalau hujahnya lemah, patahkan hujah tersebut.


Tetapi apabila agamawan yang tidak sependapat mula diberikan gelaran politik, orang ramai akhirnya berhak bertanya: yang sedang dibahaskan ini hukum agama atau kesetiaan politik?


Hadi sendiri meminta masyarakat berhujah dengan ilmu. Maka permintaan itu sewajarnya bermula daripada semua pihak, termasuk pemimpin politik yang membawa gelaran ulama.


Kerana dalam tradisi ilmu, seseorang tidak menjadi salah hanya kerana dia tidak bersetuju dengan parti kita.


Dan seseorang juga tidak tiba-tiba menjadi lebih benar hanya kerana berjaya mencari gelaran paling pedas untuk orang yang tidak bersetuju dengannya.


Kalau mahu tafaqquh fi al-din, mari berhujah dengan dalil. Terompah kayu boleh ditinggalkan di luar pintu.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.