Persoalan mengenai keputusan Felda melabur dalam Eagle High Plantations (EHP) kembali dibangkitkan selepas Datuk Dr Radzi Jidin mendedahkan bahawa cadangan pelaburan itu pada asalnya mahu dilakukan oleh FGV Berhad.
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya itu, FGV bagaimanapun tidak meneruskan cadangan berkenaan.
Sebaliknya, FELDA pula kemudiannya membuat keputusan untuk melabur dalam EHP dengan membeli 37 peratus saham syarikat perladangan di Indonesia itu sekitar tahun 2016.
Apa yang lebih menjadi persoalan, kata Radzi, FELDA ketika itu tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai pembelian tersebut.
Disebabkan itu, GovCo Holdings Berhad (GovCo), sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan, memberikan pinjaman sebanyak RM2.3 bilion kepada FELDA.
Dana berkenaan kemudiannya digunakan bagi membolehkan FELDA meneruskan pelaburan dalam EHP yang pada asalnya dicadangkan untuk dibuat oleh FGV.
Selepas hampir 10 tahun, Radzi mendakwa saham EHP yang dibeli pada harga 584 rupiah sesaham kini hanya bernilai sekitar 111 rupiah sesaham.
Menurutnya, berdasarkan harga saham semasa serta kejatuhan nilai rupiah, pelaburan yang pada asalnya bernilai sekitar RM2.3 bilion itu kini dianggarkan hanya bernilai kira-kira RM300 juta.
Lebih mengejutkan, Radzi mendakwa FELDA tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan tersebut sepanjang tempoh berkenaan, sedangkan agensi itu masih perlu menanggung komitmen hutang.
Pendedahan itu sekali gus menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab: Jika FGV sendiri tidak meneruskan cadangan pelaburan EHP, mengapa FELDA pula mengambil keputusan masuk dengan menggunakan pinjaman RM2.3 bilion?
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.