Alhamdulillah, berpeluang menyaksikan sejarah penting dalam industri perfileman tanah air tatkala merasmikan Menara FINAS di Damansara Damai hari ini.
Industri filem mempunyai peranan besar dalam mempertahankan serta memperkasa bahasa, budaya, nilai dan jati diri kita agar generasi muda tidak terputus daripada akar budaya sendiri. Dalam mengejar kemajuan dan teknologi baharu, kita harus berani menggapai ke langit, namun tetap mengakar ke bumi.
Untuk melaksanakan peranan ini, saya percaya keterbukaan dan kebebasan harus diberikan dalam berkarya. Saya khuatir seni, budaya dan sastera akan terkekang serta gagal berkembang sekiranya berdepan terlalu banyak tekanan dan sekatan.
Saya masih mengingati beberapa karya hebat yang pernah berdepan sekatan hanya kerana satu dua babak yang dianggap sensitif oleh pihak tertentu. Pengalaman lalu mengajar kita supaya tidak menilai sesebuah karya secara terlalu sempit sehingga keseluruhan kekuatan, pemikiran dan nilai seninya tenggelam.
Kita pernah melahirkan Seniman Agung P Ramlee yang mengangkat kesedaran dan nilai kemanusiaan serta meruntuhkan tembok prasangka dan faham perkauman sempit menerusi karya yang berani dan kritis. Menghimbau zaman muda, hampir semua filem Melayu keluaran Shaw Brothers dan Cathay-Keris saya ikuti. Banyak lirik dan lagunya masih membekas dalam ingatan.
Sebab itu, saya sedikit bimbang melihat sebahagian generasi baharu, terutama anak-anak yang membesar di kota, semakin terpisah daripada khazanah seni dan akar budaya kita. Namun saya melihat masih ada harapan tatkala cucu-cucu saya mula berubah fikiran dan tertarik untuk menyaksikan lebih banyak filem Melayu selepas menonton Pendekar Bujang Lapok.
Pengalaman kecil ini meyakinkan saya bahawa karya kita tidak ketandusan mutu. Yang diperlukan ialah pendedahan agar generasi baharu berpeluang mengenali, menikmati dan menghargainya. FINAS harus terus mengupayakan anak-anak seni tempatan untuk menghasilkan karya malar segar, sekali gus menghubungkan kembali anak-anak kita dengan seni, budaya dan jati diri negara.
Pada masa sama, kita tidak boleh melupakan bahawa sejarah industri kita juga sarat dengan kisah pilu para seniman yang berakhir dalam derita dan kesengsaraan akibat sistem yang menekan dan gagal membela mereka. Kemajuan industri harus bergerak seiring dengan kebajikan seluruh penggeraknya, daripada pelakon dan pengarah kepada penulis, kru serta tenaga di belakang tabir.
Kerana itu, Kerajaan MADANI akan terus memastikan dukungan yang diperlukan untuk mengangkat mutu karya, memperkukuh industri dan membela nasib para penggiatnya. Insya-Allah, ini akan menjadi perkara yang dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.