Isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis kini mencetuskan perbahasan bukan sahaja di luar DAP, malah dalam kalangan pemimpin dan anggota akar umbi parti itu sendiri.
Seramai 14 pemimpin serta anggota DAP daripada pelbagai cawangan tampil dengan pendirian tegas bahawa prinsip kedaulatan undang-undang mesti menjadi asas dalam menangani isu berkenaan.
Kenyataan bersama mereka dilihat sebagai teguran terhadap kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, walaupun namanya tidak disebut secara langsung.
Mereka ialah Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Ahli DAP Cawangan Alam Jaya, Edry Faizal; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq; Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh, Abdul Majid Abd Aziz; dan Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli.
Turut menyatakan pendirian ialah Ahli DAP Cawangan Kampung Baru Batu 9 Cheras, Shukri Mokhtar; Ahli DAP Cawangan Taman Kemuncak, Muhammad Najib Anuar dan Muhammad Muzamir Abdul Rahman; Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak, Izzul Afiq; serta Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1, Mohd Aslam Ahmad Ramli.
Empat lagi ialah Ahli DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Muhammad Nurhadi; Pengerusi DAP Cawangan Kampung Baru Pasir Pinji, Aldrin Ng; Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir; dan Ahli DAP Cawangan Taman Seroja, Azfar Faruqi Mohamad Idris.
Tidak berpihak
Bagi mereka, pemimpin yang bertanggungjawab seharusnya mendidik masyarakat mengenai kepentingan mematuhi undang-undang sekiranya sesuatu isu mempunyai unsur pelanggaran peraturan, bukannya mempertahankan tindakan tersebut.
“Pemimpin mesti menyemak fakta dan mengambil pendirian yang tidak berpihak jika ada kepentingan masyarakat yang dilihat menyalahi perundangan negara,” tegas mereka.
Pendirian itu membawa mesej bahawa kebebasan beragama dan kedaulatan undang-undang tidak seharusnya dipertentangkan.
Hak setiap komuniti perlu dihormati, tetapi undang-undang negara juga mesti ditegakkan secara adil dan konsisten
Mereka turut mengingatkan bahawa prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara mesti mengatasi kepentingan parti atau individu.
“Konsep ‘rule of law’ inilah menjadi pegangan parti sejak sekian lama,” kata mereka.
Pada masa sama, rundingan bagi mencari penyelesaian terbaik tetap perlu digalakkan.
Namun, ruang perbincangan tidak boleh menjadi alasan untuk membenarkan pelanggaran undang-undang.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kenyataan pemimpin mengenai isu sensitif agama perlu dibuat secara berhati-hati dan berasaskan fakta.
Membela hak beragama penting, tetapi mempertahankan kedaulatan undang-undang juga merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.