Sistem Kewangan Dunia Terlalu Bergantung Kepada AS – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis perasmian Global Development Centre (GDC) Ant International di TRX, Kula Lumpur pada 1 Julai 2026. Foto M Firdaus M Johari

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Negara-negara di Global South mewarisi sistem kewangan dunia yang terlalu bergantung kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada syarikat multinasional berbanding perusahaan kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem itu menyebabkan banyak negara turut menerima tempias apabila berlaku krisis ekonomi atau kewangan di negara lain walaupun tidak terlibat secara langsung.

Menurutnya, Malaysia bagaimanapun mengambil langkah mengurangkan kebergantungan tersebut menerusi penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dengan beberapa negara termasuk China.

“Kita mewarisi sistem yang terlalu bergantung kepada dolar dan lazimnya memberi manfaat kepada syarikat multinasional besar berbanding pemilik perniagaan kecil.

”Kita bukan bercakap mengenai penyahdolaran sepenuhnya kerana dolar masih penting dalam transaksi kewangan, tetapi kita telah memperluaskan penggunaan mata wang tempatan iaitu yuan dan ringgit dalam banyak urusan perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Global Development Centre (GDC) Ant International di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX), hari ini.

Anwar berkata, penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan Malaysia-China meningkat daripada sekitar lima peratus kepada 18 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan antara kedua-dua negara hasil keyakinan serta komitmen bersama.

Tambahnya, sifat ekonomi global yang saling berkait turut menyebabkan krisis di sesebuah negara mampu merebak dengan pantas ke seluruh dunia, sebagaimana ketika Krisis Kewangan Global 2008.

“Malaysia tidak ada kaitan dengan punca krisis itu, namun kita tetap terpaksa menanggung kesannya. Sebab itu kita memerlukan inovasi yang mampu meningkatkan daya tahan ekonomi, mengurangkan pendedahan kepada kejutan antarabangsa dan memperluaskan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Tambah beliau, kemajuan teknologi kewangan dan kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi membina sistem kewangan yang lebih adil, inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat, bukannya hanya menguntungkan pihak tertentu.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.