Kerajaan Johor menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera mengumumkan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pelan itu sepatutnya diumumkan pada penghujung 2025 sebelum ditangguhkan ke 30 Mac 2026.
Akan tetapi sehingga kini ia masih belum dilancarkan. Beliau berpandangan kelewatan ini tidak wajar diteruskan kerana pelabur memerlukan hala tuju yang jelas sebelum membuat keputusan untuk melabur di Johor.
Sebenarnya JS-SEZ bukan sekadar satu pengumuman politik, tetapi pelan pembangunan ekonomi jangka panjang yang melibatkan kawasan seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Senai dan Desaru.
Fokusnya ialah menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik, ekonomi digital, tenaga dan pembangunan bakat.
Pelan induk ini akan menerangkan dengan lebih terperinci insentif pelaburan, pembangunan infrastruktur, pembahagian zon industri serta penyelarasan antara agensi kerajaan.
Sebab itu ramai pelabur sedang menunggu dokumen ini sebelum membuat komitmen yang lebih besar.
Walaupun pelancaran rasmi masih ditangguhkan, Menteri Ekonomi sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan JS-SEZ sebenarnya sudah pun berjalan dan pelan induk telah diluluskan Kabinet.
Ia dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura selepas Pilihan Raya Negeri Johor.
Ini bermakna persoalan sekarang bukan sama ada JS-SEZ akan diteruskan atau tidak, tetapi seberapa cepat kerajaan dapat memberikan kepastian kepada pelabur.
Lagi cepat pelan induk diumumkan, lagi mudah Johor menarik pelaburan baharu dan bersaing sebagai hab ekonomi rentas sempadan utama di rantau ini.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.