JOM KAJI PERKARA INI

 







 Pada rangkap ucapan pertama Sanusi, dia sebut begini:



“Melayu takdak dah tanah, Melayu tinggal tanah ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Baik, sekarang kita ke ungkapan kedua pula.
“Ekonomi sudah tak dapat dikuasai, politik pula terlepas makin hari makin sedikit tinggal dekat kita.”
Sekarang kita ke ungkapan ketiga pula.
“Orang muda tak peduli dengan politik, nak masuk parti pun tak mahu. Kata ni buang masa orang. Politik ni kotor. Semua ini ditanam dalam kalangan orang muda supaya orang Melayu tak peduli dengan politik.
Dan last sekali politik boleh dekat orang lain. Maka hilanglah tanah ini. Hilanglah nusa ini. Takdak dah tuan-tuan. Takdak ganti.”
Dan ungkapan yang terakhir,
“Sesuatu kena dibuat sekarang, something to be done now. Kena buatlah ni. Formula lain takdak dah. Kena berpadu.”
Baik, mari kita analisis kenyataan Sanusi ini.
Ungkapan pertama.
Melayu, Cina dan India semuanya ada tanah masing-masing.
Itu betul dan saya setuju Malaysia ini adalah Tanah Melayu.
Tetapi persoalannya, kenapa Sanusi perlu mengeluarkan kenyataan seperti ini di atas pentas kempen parti politik?
Untuk apa sebenarnya?
Adakah Sanusi cuba beritahu bahawa wujud satu entiti atau mana² parti yang sedang cuba merampas tanah Malaysia daripada orang Melayu?
Jika bukan itu maksudnya, jadi apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan?
Adakah Sanusi cuba memberi gambaran bahawa perjuangan politiknya hari ini adalah untuk memerangi parti² bukan Melayu?
Atau adakah dia cuba memberi persepsi bahawa orang bukan Melayu atau parti² tertentu sedang mengancam kedudukan orang Melayu?
Kalau benar dia bercakap tentang mempertahankan orang Melayu, mempertahankan daripada apa sebenarnya?
Hak Melayu yang mana sedang terancam atau bakal terancam?
Sekarang kita pergi kepada ungkapan kedua.
Sanusi menyebut ekonomi sudah tidak dikuasai orang Melayu dan politik pula semakin terlepas daripada tangan orang Melayu.
Kalau begitu, adakah Sanusi sedang mengakui bahawa penguasaan ekonomi orang Melayu gagal diperkasakan selepas puluhan tahun pentadbiran UMNO, iaitu parti yang hari ini menjadi rakan kempen mereka sendiri?
Kemudian, di manakah bukti bahawa politik orang Melayu semakin terlepas?
Adakah majoriti Ahli Parlimen hari ini terdiri daripada orang bukan Melayu?
Adakah Perdana Menteri bukan lagi orang Melayu?
Adakah Raja-Raja Melayu sudah hilang kuasa?
Atau adakah Perkara 3, Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan sudah dimansuhkan?
Jika semua itu masih kekal, maka apakah asas kepada dakwaan bahawa politik Melayu semakin hilang?
Seterusnya ungkapan ketiga.
Sanusi mendakwa ada pihak yang menanam persepsi dalam kalangan orang muda supaya menjauhi politik.
Siapa pihak itu?
Apa buktinya?
Bagaimana dia boleh membuat kesimpulan bahawa jika orang muda tidak menyertai politik, maka politik akan jatuh ke tangan orang lain sehingga akhirnya tanah air ini akan hilang?
Adakah Sanusi sedang memberi bayangan bahawa ada pihak yang mahu mengubah Perlembagaan Persekutuan?
Adakah ada parti yang mahu menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu?
Adakah ada parti yang mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera?
Kalau ada, nyatakan secara jelas siapa dan bentangkan buktinya.
Jika tidak, kenyataan seperti ini hanya membuka ruang kepada pelbagai tafsiran negatif terhadap pihak yang langsung tidak dinamakan.
Sebab itu pada saya, kenyataan begini tidak wajar dibela kerana ia dilontarkan diatas pentas kempen politik yang bertujuan mempengaruhi emosi pengundi.
Apabila seorang pemimpin bercakap secara umum tanpa menamakan pihak yang dimaksudkan, ruang tafsiran akan terbuka luas. Penyokong akan mengisi kekosongan itu dengan andaian sendiri.
Ada yang akan menyalahkan DAP, ada yang akan menyalahkan masyarakat Cina, ada yang akan menyalahkan masyarakat India, sedangkan nama mereka langsung tidak disebut.
Akhirnya lahirlah prejudis yang tidak bersandarkan fakta.
Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan masih menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. Semua ini masih kekal berkuat kuasa.
Malah majoriti Ahli Parlimen hari ini masih orang Melayu, Perdana Menteri ialah orang Melayu dan institusi politik Melayu masih mendominasi landskap politik negara.
Jadi apabila seseorang mendakwa politik Melayu semakin hilang, dakwaan itu perlu disokong dengan fakta yang jelas.
Hilang kepada siapa?
Berdasarkan angka yang mana?
Atau ia sekadar naratif politik untuk membangkitkan rasa takut dalam kalangan orang Melayu menjelang pilihan raya?
Mempertahankan hak orang Melayu bukan satu kesalahan kerana ia sendiri dijamin oleh Perlembagaan.
Tetapi mempertahankan Melayu dengan membina persepsi bahawa wujud musuh yang sedang merampas negara tanpa menyatakan siapa, tanpa mengemukakan bukti dan tanpa menjelaskan ancaman sebenar, itulah yang mengundang kebimbangan.
Dalam politik, setiap ucapan mempunyai implikasi. Pemimpin sepatutnya membina keyakinan rakyat dengan fakta, dasar dan penyelesaian, bukannya membina ketakutan melalui kenyataan yang terlalu umum sehingga membuka ruang kepada prejudis antara kaum.
Jika benar ada ancaman, bentangkan bukti.
Jika benar ada pihak yang mahu merampas hak orang Melayu, nyatakan siapa dan kemukakan fakta.
Tetapi jika semuanya hanya bergantung kepada tafsiran dan persepsi, maka rakyat juga berhak mempersoalkan apakah niat sebenar ucapan tersebut.
Dan nasihat saya kepada Rafique, gunakan akal terlebih dahulu sebelum terlalu ghairah membela Sanusi.
Saya tahu awak mungkin sedang teruja kerana PEJUANG baru diterima sebagai anggota PN.
Tapi jangan sampai keterujaan politik itu menyebabkan akal kamu tersangkut ditepi pagar.
Baca keseluruhan ucapan Sanusi, fahami konteks pentas kempen dan teliti kesan setiap ungkapan yang digunakan.
Jangan hanya ambil satu ayat yang kelihatan sederhana untuk mencuci keseluruhan naratif yang sarat dengan ketakutan tentang tanah, ekonomi dan politik Melayu kononnya sedang terlepas kepada “orang lain”.
Masalahnya bukan semata-mata samada Sanusi menyebut secara terang supaya orang Cina dan India dihalau.
Masalah sebenar ialah dia membina rangka ucapan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa orang Melayu sedang kehilangan tanah air kepada pihak lain yang tidak dinamakan.
Jadi jangan terlalu cepat menjadi peguam bela kepada ucapan yang sendiri gagal menjelaskan siapa ancamannya, apa buktinya dan bagaimana ancaman itu berlaku.
Politik boleh berubah, parti boleh bertukar kawan, tetapi akal jangan sekali-kali diserahkan bersama borang keahlian gabungan.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.