Menteri Pendidikan Tinggi Lancar Buku UPSI Berduka, Rakam Insiden Gerik Sebagai Catatan Sejarah

 


Datuk Seri Dr. Zambry (tengah) ketika membaca Buku UPSI Berduka bersama beberapa pelajar insiden kemalangan bas Gerik yang terlibat pada Majlis Peluncuran Buku UPSI Berduka di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 16 Jun 2026. Foto Shahidah Abu Hassan

TANJONG MALIM, 16 Jun – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini melancarkan buku UPSI Berduka, sebuah naskhah dokumentasi khas yang merakam insiden kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu yang mengorbankan 15 nyawa.

Dalam ucapannya, Dr. Zambry berkata penerbitan buku tersebut bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, malah menjadi manifestasi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan, selain memperlihatkan kekuatan semangat kebersamaan yang ditunjukkan pelbagai pihak ketika berdepan saat sukar itu.

“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara. Penerbitan UPSI Berduka membolehkan pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.

Datuk Seri Dr. Zambry bergambar bersama para pelajar insiden kemalangan bas Gerik yang terlibat pada Majlis Peluncuran Buku UPSI Berduka di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 16 Jun 2026. Foto Shahidah Abu Hassan

“Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan oleh masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” katanya pada majlis berkenaan di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, hari ini.

Buku berkenaan menghimpunkan kronologi kejadian, pengalaman pelajar yang terselamat, luahan hati waris, kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat dan petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama tragedi berlaku.

Turut dimuatkan ialah dokumentasi tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan UPSI bersama pelbagai agensi dalam usaha menguruskan kebajikan mangsa, waris dan komuniti yang terkesan sepanjang tempoh tragedi tersebut.

Para mahasiswa UPSI yang terselamat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak masih trauma dengan insiden yang meragut rakan sekuliah mereka pada 9 Jun 2025.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penerbitan UPSI Berduka merupakan usaha universiti untuk memastikan peristiwa yang pernah menguji ketabahan seluruh warga kampus itu terus diingati sebagai satu pengajaran yang amat bermakna.

“Buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakamkan sejarah yang berlaku dalam keluarga besar UPSI. Ia bukan sekadar catatan tentang kehilangan, tetapi juga kisah kekuatan, pengorbanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak.

“Kami berharap naskhah ini dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pengurusan krisis, selain menjadi penghargaan yang berkekalan kepada mangsa, waris serta semua yang terlibat dalam usaha membantu ketika tragedi tersebut berlaku,” katanya.

Oleh Bazli Razak

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.