Kalau bukan dia yang memerintah, negara berada dalam ketakutan


Fathi Aris Omar







 Kalau bukan dia yang memerintah, negara berada dalam ketakutan

😆 Hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad tulis "feel of fear".
Bukan hari ini. Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, dia cakap macam ini. Zaman DS Najib Razak, dia cakap macam ini juga! Dia sorang je lah yang betul.
Dia lupa gamaknya, zaman dia 22 tahun dahulu, bukan lagi "rasa-rasa takut" tetapi jelas-jelas muncul budaya takut (culture of fear).
Mula-mula dalam kalangan pengkritik, aktivis dan pembangkang, kemudian merebak dalam Umno, badan kehakiman, media, kampus dan sektor lain.
Tengok rekod pembolotan kuasa, cengkaman kuku besi dan penyempitan ruang demokrasi sejak Dr Mahathir naik dalam laporan Malaysia: Human Rights Undermined: Restrictive Laws in a Parliamentary Democracy (31 Ogos 1999).
Tanya orang PAS apa nasib menjadi pendukung parti itu. Kena tukar sekolah, tidak naik pangkat, kena buang universiti, meringkuk dalam penjara ISA. Tengok apa jadi di Memali.
ISA jadi rutin, misalnya peguam Suhaimi Said yang perjuangkan isu Felda. Tengok apa jadi pada ustaz Bunyamin Yaacob dan Mohamad Sabu. Sebelum Ops Lalang 1987 mereka sudah kena!
Sebab itu wartawan desak mansuh Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan gubal Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) pada 1986. Mereka berarak dan protes di depan Parlimen. Ingat, wartawan arus perdana.
Datang Ops Lalang, tangkapan borong bawah ISA pula, lebih 100 aktivis, ahli akademik dan pemimpin pembangkang dipenjara tanpa perbicaraan.
Tiga akhbar diharamkan. Padahal hendak tutup krisis dalam Umno, waktu penentangan besar-besaran daripada kem Tengku Razaleigh Hamzah. Sampailah Umno diharamkan awal 1988.
(Padahal bukan ada masalah dalam negara, bukan ada krisis atau ada darurat. Tetapi semata-mata nak kekal presiden Umno sahaja. Nak jawatan)
Kemudian pecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pula. Melalui tribunal yang kontroversi. Ahli akademik yang berani kecundang, maka mereka pakat menulis Akademia: Menjelang Tahun 2000.
Muncul Umno (Baru), Dr Mahathir tukar peraturan sesuka hati biar mustahil untuk cabar jawatan presiden. Dekad 1990-an itu menyempurnakan cengkamannya ke atas negara. Umno dicengkam ketakutan luar biasa selepas rakyat dibisukan.
Hujungnya, Dr Mahathir tarik royalti minyak Terengganu pada Ogos 2000 untuk sekat kemaraan PAS. Kemudian cipta persempadanan semula kawasan pilihan raya agar kerusi Melayu makin kurang, banyakkan kerusi campuran.
Tetapi sejarah membuktikan cengkamannya dicabar habis-habisan mulai Reformasi 1998. Dalam PRU 1999, PAS-Barisan Alternatif rampas Terengganu dengan rekod ajaib, 28-4.
Terlalu banyak terpaksa ditulis untuk fahami rekod buruk zaman Dr Mahathir sebab dia kuasai satu pertiga sejarah negara kita (34 peratus atau 22 tahun + 22 bulan). Tapi kita mesti faham sejarah ini.
Selain laporan Malaysia: Human Rights Undermined terbitan Amnesty International itu, saya suka orang baca Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora, terjemahan karya Barry Wain.
Dari sini kita boleh mengintai masa silam, melihat bagaimana budaya ketakutan, pembodohan rakyat dan kerosakan institusi penting negara mula terjadi.
Akhirnya merebak skandal bilion ringgit: daripada skandal BMF hingga skandal 1MDB. Untuk isu ini, baca pula Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia karya profesor Edmund Terence Gomez.
Kau orang tak faham, sebab itu puja mati-matian Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin. 🔥 Kau orang tidak baca sejarah, sebab itu tidak hargai usaha perlawanan dan perubahan yang cuba dibuat.
Semak tiga dokumen ini 👆 Cuba teliti dengan jujur dan hati yang lapang. Jangan kita diperbodoh oleh orang politik dan juak-juak mereka. Kaji sendiri.
RUJUKAN satu laporan dan dua buku yang disebut di atas. Klik pautan di bawah setiap imej di bawah 👇 Dapatkan dan buat kajian sendiri 👍



















No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.