Ekosistem Teknologi Berdaya Tahan Dipacu Hubungan Saling Melengkapi Jepun-Malaysia – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama di Forum Nikkei Jepun di Tokyo pada 10 Jun 2026. Foto RTM

TOKYO, 10 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hubungan Malaysia dan Jepun yang saling melengkapi dalam sektor teknologi dan pembuatan berpotensi membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan ketika rantaian bekalan global berdepan pelbagai tekanan.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh digembleng bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik, khususnya industri semikonduktor.

Menurutnya, kekuatan Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bidang bahan, peralatan dan pembuatan berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama di Forum Nikkei Jepun di Tokyo pada 10 Jun 2026. Foto Bernama

“Malaysia yang semakin kukuh dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bahan, peralatan dan pembuatan termaju.

“Bersama-sama, kita mempunyai peluang untuk membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu ketika rantaian bekalan berdepan tekanan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan enam syarikat utama Jepun iaitu IBM, Mitsubishi Corp, ENEOS Corp, Shizen Energy Inc., DENSO Corp dan Marubeni Corp di Tokyo pada 9 Jun 2026. Foto PMO

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Tambah Anwar, kerjasama erat Malaysia dan Jepun bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan industri negara sejak beberapa dekad lalu.

Katanya, ketika Pulau Pinang memulakan transformasi perindustrian pada tahun 1970-an, syarikat Jepun memainkan peranan penting dalam meletakkan asas kepada pembangunan negeri itu sebagai hab elektronik dan semikonduktor terkemuka di Asia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan enam syarikat utama Jepun iaitu IBM, Mitsubishi Corp, ENEOS Corp, Shizen Energy Inc., DENSO Corp dan Marubeni Corp di Tokyo pada 9 Jun 2026. Foto PMO

Menurutnya, hubungan berkenaan dibina bukan sekadar berasaskan pelaburan, sebaliknya berpaksikan keyakinan, perkongsian serta komitmen terhadap pembangunan jangka panjang.

Dalam sektor tenaga pula, beliau berkata, kerjasama Malaysia dan Jepun mampu membantu Asia mempercepat peralihan kepada masa depan rendah karbon tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.

Katanya, menerusi inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC), kedua-dua negara membuktikan agenda kelestarian dan pembangunan ekonomi boleh bergerak seiring.

Justeru, Malaysia dan Jepun juga perlu memperkukuh kerjasama dalam ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan inovasi yang dibangunkan bersifat inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.