
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi detik ceria semasa sesi bergambar pada majlis makan malam bersama kira-kira 300 diaspora dan sahabat Malaysia di Turkmenistan, pada 18 Jun 2026. Foto PMO
ASHGABAT, 19 Jun – Sempena lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni rakyat Malaysia di sini, malam tadi.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, peluang itu digunakan bagi berkongsi komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merapat serta menyemarakkan hubungan dengan warga Malaysia yang berada di luar negara.

Kehadiran Perdana Menteri jelas menceriakan suasana apabila beliau menyantuni setiap meja yang dihadiri diaspora sejak awal petang tadi.

Anwar berkata, kumpulan diaspora itu akan dipastikan sentiasa terhubung dengan tanah air, dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi dan roh pembangunan bangsa.

“Alhamdulillah, dapat meraikan diaspora Malaysia di Ashgabat, Turkmenistan. Meski jauh dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti kita berkumpul di Kuala Lumpur.

“Mereka ini adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan,” ujar Anwar.

Anwar berkata, beliau turut menjelaskan mengenai matlamat kunjungan ke Ashgabat yang bukan hanya tertumpu kepada aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Perdana Menteri berkata, kunjungan itu sebagai usaha memperluas persahabatan antara negara, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara Asia Tengah itu atas undangan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov susulan lawatan rasmi Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.