NORMAN DAUD
Saya sempat mengikuti podcast FMT dan Tan Sri DR Chua soi lek tempoh hari, antara yang menarik perhatian saya mengenai unjuran kebangkitan PAS secara ‘by default’ akibat kelesuan politik pengundi Cina adalah satu hujah matematik pilihan raya (seat arithmetic) yang tidak boleh dipandang remeh.
Hipotesis beliau mudah..sekiranya pengundi bukan Melayu khususnya komuniti Cina mengalami kelesuan politik (political fatigue) lalu memilih untuk tidak keluar mengundi , maka imbangan perimeter di kawasan campuran akan runtuh, sekali gus menyerahkan kemenangan mudah kepada Perikatan Nasional (PN).
Kelesuan politik atau disillusionment yang dikesan oleh Dr. Chua dalam kalangan pengundi Cina sebenarnya bukan isyarat mereka beralih arah menyokong PN. Ia adalah manifestasi tuntutan mereka terhadap kecekapan tadbir urus (governance) dan kestabilan makroekonomi.
Kesilapan terbesar bagi mana-mana gabungan pemerintah adalah menganggap sokongan kelompok ini bersifat take-for-granted. Jawapan yang perlu diberi kepada kelesuan ini bukanlah momokan retorik kaum, tetapi pembuktian hasil reformasi struktur ekonomi yang sedang diusahakan hari ini.
Kita harus berani mengakui bahawa fasa transisi ekonomi negara di bawah Kerajaan Perpaduan ketika ini sedang melalui fasa penstrukturan semula yang amat mencabar. Langkah-langkah reformasi fiskal yang berani seperti rasionalisasi subsidi bersasar, peluasan asas cukai, dan pengukuhan nilai ringgit sedang berjalan demi menyelamatkan trajektori kewangan negara dalam jangka masa panjang.
Di peringkat akar umbi, impak pembetulan dasar fiskal ini pastinya memberi tekanan jangka pendek kepada kos sara hidup rakyat. Inilah punca sebenar berlakunya 'kelesuan' atau protes senyap yang dinyatakan oleh Dr. Chua.
Pengundi bandar dan pinggir bandar melihat unjuran angka pelaburan berbilion ringgit yang diumumkan di Putrajaya, namun mereka mahu melihat bagaimana angka makro tersebut diterjemahkan ke dalam mikropoket mereka sama ada melalui peningkatan kadar gaji sebenar (real wage growth) mahupun kestabilan harga barang keperluan asas.
Data pasaran membuktikan jika reformasi fiskal ini berjaya menstabilkan inflasi dan meningkatkan daya beli rakyat menjelang PRU16, unjuran kelesuan politik Dr. Chua akan meleset dengan sendirinya. Rakyat akan kembali ke peti undi bukan kerana takutkan PAS, tetapi kerana mereka yakin dengan hala tuju ekonomi negara.
Amaran Tan Sri Dr. Chua Soi Lek wajar diteliti sebagai sebuah loceng amaran (wake-up call) untuk jentera penerangan Kerajaan Perpaduan bertindak lebih agresif, tangkas, dan tuntas di peringkat akar umbi. Kita tidak boleh lagi membina naratif pertahanan berasaskan perimeter kaum atau tembok polarisasi lama.
Tugas KEADILAN dan rakan-rakan sekutu adalah merintis Politik Konvergensi (Merubuhkan Ruang Pemisah). Kita perlu turun menjelaskan kepada pengundi di kawasan campuran tanpa mengira kaum bahawa kestabilan politik yang kita tawarkan hari ini adalah prasyarat mutlak untuk membolehkan reformasi ekonomi berlaku.
Apabila kebajikan rakyat dijaga, sistem penyampaian diperkemas, dan peluang ekonomi diwujudkan secara adil, pengundi akan keluar beramai-ramai dengan penuh keyakinan. Kita akan mendepani PRU16 bukan dengan memanipulasi ketakutan rakyat, tetapi dengan menawarkan keyakinan berasaskan prestasi dan rekod kerja yang terbukti.
Suhaimi Ibrahim
KPen KEADILAN Pahang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.