Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memutuskan penyelarasan bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan segera selepas kerajaan mengesan sebahagian rakyat terutama di luar bandar mula merasai tekanan kos sara hidup.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata walaupun statistik keseluruhan menunjukkan harga makanan masih terkawal, kerajaan tidak mahu mengambil mudah keresahan rakyat terhadap kenaikan harga barang harian.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bersama ahli MTEN melahirkan kebimbangan terhadap kesan peningkatan harga yang mula dirasai golongan miskin dan rentan.
“Walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan dilihat terkawal, Perdana Menteri dan ahli MTEN melahirkan kerisauan bahawa terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan terutama di luar bandar telah mula merasai tekanan harga barangan harian,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.
Susulan itu, katanya Ketua Setiausaha Negara akan menyelaras tindakan bersama semua kementerian bagi memastikan bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar secara lebih berkesan.
Menurut Akmal, beberapa bahan makanan terpilih menunjukkan kenaikan harga bagi tempoh 4 hingga 6 Mei 2026 walaupun ada juga barangan yang mencatat penurunan.
Antara yang meningkat ialah ikan kembung sebanyak 3.9 peratus kepada RM17.42 sekilogram, sawi naik empat peratus kepada RM7.23 sekilogram dan santan kelapa segar melonjak 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram.
Harga udang putih turut meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram.
Bagaimanapun, harga daging lembu mencatat penurunan kepada RM35.88 sekilogram manakala harga ayam standard kekal stabil sekitar RM9.50 sekilogram.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal berkata penggunaan pengangkutan awam juga meningkat apabila rakyat mula menyesuaikan corak perbelanjaan akibat ketidaktentuan kos global.
Katanya, purata penumpang rel meningkat 7.6 peratus kepada lebih 1.08 juta penumpang sehari pada April lalu, manakala penggunaan bas meningkat 10.3 peratus.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan semakin ramai rakyat memilih kaedah mobiliti yang lebih menjimatkan dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa.
Selain itu, permintaan maksimum penggunaan tenaga elektrik negara turut meningkat sedikit kepada 20,097 megawatt bagi tempoh 4 hingga 10 Mei lalu berbanding minggu sebelumnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.