
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyampaikan ceramah isu semasa di luar perkarangan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua, Butterworth pada 8 Mei 2026. Foto Mohamad Sabu
BUTTERWORTH, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan apabila setiap kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya menghapuskan subsidi terutamanya membabitkan barangan keperluan dan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau bersama pegawainya sebelum itu sering bertemu Anwar membincangkan mengenai keputusan menarik subsidi telur ayam yang pada mulanya tidak dipersetujui kerana bimbang berlaku kenaikan harga barangan asas berkenaan.
Katanya, selepas meyakinkan Perdana Menteri bahawa kementeriannya sudah berbincang dengan penternak baharu keputusan penarikan subsidi dibuat yang ternyata harganya tidak naik, malah berlaku pula lambakan.

“Perdana Menteri paling payah nak lawan dengan dia (mengenai) kenaikan harga ini. Dia tak setuju, dulu telur ayam, kita nak tarik subsidi, saya dengan pegawai-pegawai terpaksa jumpa dia berkali-kali dengan maklumkan yang kita nak tarik subsidi telur ayam.
“Dia tanya (nanti) tak naik harga ke? Selepas itu dia (berseloroh) dia kata Mat (Mohamad) kalau naik hang (awak) jaga.” Saya kata, tak, kita dah bincang dengan orang-orang penternak ini pun jangan kita musuh dengan mereka, yang buat jahat, kartel ni satu dua sahaja tetapi kebanyakannya (penternak lain) boleh bekerjasama.
“Jadi bila kita hapuskan subsidi telur ayam ini, didapati harganya tak naik, bahkan telur jadi lambakan dalam bulan Ramadan yang lalu,” katanya ketika berucap pada satu program berkaitan ceramah isu semasa di luar perkarangan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, keprihatinan Perdana Menteri terhadap rakyat boleh dilihat apabila negara sedang berdepan dengan krisis Asia Barat yang mana ia belum memberi kesan besar kepada Malaysia pada ketika ini.
“Setakat ini, Alhamdulillah tiga bulan (perang Asia Barat) berlalu yang ia belum memberi kesan besar kepada Malaysia. Harga sayur, ikan, saya pergi negara mana pun sekarang ini, duduklah hotel lima bintang ke apa salah satu saya melawat ialah pasar.
“Jika nak banding harga di Indonesia, kalau pergi China, harga di negara China, kalau pergi ke Korea, harga di negara Korea, kita lihat baru-baru ini pergi Vietnam, pergi melawat pasar, tengok harga, barang makan ini semua (harga naik) tetapi tengok di Malaysia ini dan Alhamdulliah kita berada di negara yang agak baik sekarang ini.

” Ini yang kita nak di mana kita (kerajaan) boleh tampung kita cuba tampung sama seperti kita pesan (kepada rakyat) jangan beli beras cara mengejut dan rakyat ikut maka (harga) dapat kita kawal sekarang ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pemberian subsidi bagi telur ayam telah dihentikan bermula 1 Ogos tahun lalu selepas KPKM mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
Hasil penjimatan kementerian itu boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi menjamin kesejahteraan rakyat, selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Oleh Nur Izzati Mohamad
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.