Kelulusan tambahan 4,500 jawatan tetap, ini antara usaha kerajaan tangani penghijrahan doktor


 


Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan enam langkah besar memperbaiki kelemahan dasar pelantikan pegawai perubatan awam secara kontrak yang diperkenalkan kerajaan pada 2016.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia termasuk menambah jawatan tetap secara berperingkat, termasuk kelulusan tambahan 4,500 jawatan tetap kepada doktor kontrak bermula tahun ini.

Beliau mengakui mempunyai kelemahan dasar yang mula dilaksanakan pada zaman pentadbiran kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Razak itu perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, khidmat kontrak itu bukan satu-satunya punca penghijrahan doktor ke luar negara atau menyertai sektor swasta.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanya sebahagian daripada isu lebih besar membabitkan ekosistem tenaga kerja kesihatan negara.

Dalam masa sama, Dr Dzulkefly berkata, KKM turut menyegerakan pengisian ribuan kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan seluruh negara.

Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkukuh laluan latihan kepakaran termasuk ‘Parallel Pathway’ dan latihan kepakaran tempatan.

“Langkah ke empat ialah KKM menambah peruntukan bagi pembangunan doktor pakar kerana negara dijangka kekurangan lebih 13,000 doktor pakar menjelang 2030 seperti dilaporkan sebuah kajian sebelum ini,” katanya, dipetik BH.

KKM, ujarnya, turut meneliti semula isu kebajikan, waktu kerja dan persekitaran kerja petugas kesihatan.

Tambahnya lagi, KKM juga melaksanakan reformasi kesihatan yang lebih besar termasuk pendigitalan kesihatan, pengukuhan penjagaan primer dan pembiayaan kesihatan lebih mampan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.