
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyantuni rakyat Negeri Sembilan ketika tiba di lokasi Ceramah Perdana PH di Paroi pada 7 Mei 2026. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
SEREMBAN, 7 Mei – Hala tuju Pakatan Harapan (PH) adalah memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal menerajui negara bagi penggal kedua.
Menegaskan perkara itu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu segenap rakyat jelas dengan hala tuju berkenaan yang turut disaksikan ketua komponen PH lain iaitu Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Untuk itu, Negeri Sembilan menjadi subjek permulaan momentum berkenaan dan jelas mendapat sambutan apabila kira-kira 3,000 orang turun malam tadi.
“Saudara, kita nak teruskan penggal berbaki, dan kalau ditanya apa hala tuju Pakatan Harapan, kita nak berusaha untuk memerintah penggal kedua dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim memimpin sebagai Perdana Menteri penggal yang kedua.

“Hala tuju kita sangat jelas. Dan itu mesti bermula dengan Negeri Sembilan, kita terus bina kekuatan, dan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) akan terus memimpin dengan penuh cemerlang,” katanya menerusi Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) di Tempat Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan terus memberi penekanan kepada tiga teras utama, iaitu mengekalkan kestabilan politik, memacu kemakmuran ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Prinsip tersebut kata Saifuddin Nasution, juga menjadi asas penyatuan dalam Kerajaan Perpaduan dan telah dibuktikan pelaksanaannya sejak tiga tahun lepas.
“Kerajaan ini dibentuk berasaskan saling percaya dan hormat. Dua nilai politik inilah, trust and respect, sebab itulah saya kagum dengan Tok Min (Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun) berjaya mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan dan mentadbir dengan jaya,” katanya.
Pada sidang media kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beberapa lagi inisiatif untuk rakyat yang terkesan akibat krisis di Asia Barat seperti pengurangan sewa premis perniagaan serta insentif RM200 sehektar bagi pembajakan sawah padi kepada 240,000 pesawah berdaftar dengan kos RM48 juta.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.