
Pengerusi Ulama Umno, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (kanan) menegur kenyataan Nik Zawawi melibatkan sejarah para sahabat Nabi Muhammad SAW pada 12 Mei 2026.
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Polemik berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh melibatkan sejarah para sahabat Nabi Muhammad SAW, ditegur Timbalan Pengerusi Ulama Umno, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Menerusi hantaran ringkas di media sosial, Khairuddin menegaskan fakta berkaitan tokoh besar Islam tidak boleh disampaikan secara sembarangan apatah lagi tanpa sandaran sejarah yang sahih.
“Tiada pernah diriwayatkan Umar bin al-Khattab berzina zaman Jahiliyyah. Abu Bakar al-Siddiq seorang ahli perniagaan bukannya ‘ceti’. Fakta sejarah sahabat perlu dibersihkan daripada kepalsuan,” katanya.

Teguran berkenaan dipercayai merujuk kepada ucapan Nik Zawawi yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam.
Isu tersebut pantas menjadi perdebatan hangat dalam media sosial apabila beberapa pihak mendakwa terdapat fakta sejarah yang tidak tepat dalam penyampaian Ahli Parlimen Pasir Puteh itu.
Malah, ramai pengguna media sosial menyifatkan kisah melibatkan para sahabat Rasulullah SAW tidak sepatutnya dijadikan bahan ceramah politik atau dihuraikan tanpa rujukan yang jelas.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan turut mengingatkan semua pihak supaya menjaga adab, percakapan dan penulisan ketika menyentuh tentang para sahabat Rasulullah SAW.
Menurut beliau, para sahabat Nabi bukan tempat untuk dijadikan bahan penghinaan atau direndah-rendahkan kerana mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam.
Setakat ini, Nik Zawawi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung teguran terbuka dibuat Khairuddin yang terus mencetuskan perbahasan dalam kalangan warganet.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.