15 Mei 2026
Esok, Sabtu 16 Mei akan diadakan mesyuarat PN yang dipengerusikan oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Antara agenda penting esok ialah melulus dan mengesahkan kemasukan empat parti baharu ke dalam gabungan tersebut.
Empat parti yang telah memohon untuk menyertai PN adalah Berjasa, Pejuang, Putra dan Iman.
Adalah dijangka keempat-empat parti tersebut akan diterima dan dipersetujui sebulat suara kemasukannya ke dalam PN.
Dengan langkah tersebut, PN akan menjadi gabungan yang lebih besar dan mewakili semua kelompok masyarakat dalam negara ini serta mempunyai lebih kekuatan menghadapi PRU16 akan datang.
Anggota PN sedia ada adalah PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP dan dengan kemasukan empat parti baharu esok, anggota komponen PN akan menjadi lapan parti.
Salah satu daripada empat parti yang akan diterima masuk menyertai PN esok dipercayai akan menjadi “rumah baharu” bagi Hamzah Zainuddin, bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat dan seluruh para penyokongnya sama ada yang telah dipecat atau masih berada dalam parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.
Sebelum ini Muhyiddin ada menyebut bahawa beliau akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya ingin menyertai PN.
Aladan diberi oleh Presiden Bersatu itu ialah beliau tidak lagi mempercayai Hamzah.
"Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN...saya akan jawab tidak boleh sebab 'once bitten twice shy' (sekali dikhianati kena berwaspada).
"Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak.
“Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu," kata Ahli Parlimen Pagoh dipetik sebagai berkata pada 4 Mac lalu.
Pun begitu, perkembangan terbaru mengatakan kemasukan empat parti baharu itu ke dalam PN, termasuk parti yang bakal menjadi “rumah baharu” Hamzah tidak akan dibantah oleh mana-mana pihak.
Ini kerana jika satu parti dibantah kemasukannya, tiga parti yang lain juga akan terhalang daripada menyertai PN.
Akan terlihat tidak adil dan menyusahkan pihak lain, di samping bantahan itu juga menunjukkan pihak yang membantah itu tidak mahu melihat PN terus maju ke depan.
Maka, difahamkan semua empat parti itu akan diterima tanpa bantahan sebagai komponen baharu PN mulai esok demi masa depan PN.
Dalam hal berkaitan, dijangkakan dalam tempoh seminggu dua lagi, akan diadakan satu majlis penerimaan Hamzah dan para penyokongnya ke dalam parti tersebut.
Buat permulaan, hanya Hamzah bersama Ahli Parlimen atau Adun yang dipecat saja akan menyertai parti itu, manakala yang lain akan berbuat demikian sebaik saja Parlimen dibubarkan nanti.
Pun begitu, penyokong biasa Hamzah di dalam Bersatu yang bukan bergelar wakil rakyat, mereka dijangka akan turut menyertai parti baharu itu bersama-sama dengan bekas Ketua Pembangkang dalam majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ertinya, selepas ini Hamzah kembali semula ke dalam PN setelah terkeluar sementara berikutan pemecatannya daripada Bersatu.
Kepada Hamzah, pengikut dan para penyokongnya, diucapkan selamat kembali ke pangkuan PNdan semoga gabungan itu kekal berwibawa sebagai kerajaan menanti menuju PRU16 nanti. - ShahbudinHusin 15Mei2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1285748163548300&id=100063393840098

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.