CUBAAN JATUHKAN AMINUDDIN SUDAH DIKIRA GAGAL, ELOKLAH UMNO PILIH JADI PEMBANGKANG SECARA RASMI
5 Mei 2026
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang berperanan menggerakkan penarikan sokongan terhadap Aminudin Harun sebelum ini ada menyatakan kesedian parti itu untuk bergelar pembangkang sehingga PRN atau PRU akan datang.
Beliau berkata, UMNO menarik sokongan kerana tidak mahu terpalit lagi dengan kesalahan yang dilakukan oleh Menteri Besar terkait krisis adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Sambil menyarakan pendirian menarik sokongan itu tetap kekal, beliau berkata, fokus UMNO Negeri Sembilan sekarang adalah bersiap siaga menghadapi PRN atau PRU16 dengan matlamat untuk menang keseluruhan kerusi DUN yang ditandingi, sekaligus dapat kembali dominan di negeri berkenaan.
Begitulah tegasnya pendirian dan suara Jalaluddin dalam perbalahan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Namun demikian, hanya tiga hari selepas mengungkapkan kata-kata itu, ia kini seperti doa yang telah pun dimakbulkan Tuhan.
Ini berikutan, perkembangan terbaru memperlihatkan 2 daripada 5 Adun PN ingin berpendirian berkuali dalam kemelut yang sedang berlaku di negeri itu.
Sebelum ini, lima Adun berkenaan sedia memberi sokongan kepada UMNO, tetapi keinginan mereka iti dilecehkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai gelojoh ingin berkuasa.
Dengan pendirian dua Adun yang berkecuali itu, usaha UMNO untuk menekan Aminuddin berundur sebagai Menteri Besar sudah dikira menemui jalan buntu.
Aminudin sudah tentu enggan berundur atau meletakkan jawatan berikutan perkembangan terbaru itu kerana membaca UMNO sudah kekurangan sokongan.
Jika pun selepas ini diadakan Sidang DUN, cubaan UMNO membawa usul undi tidak percaya senang-senang dapat dipatahkan.
Aminuddin kekal dengan sokongan 17 Adun PH dan dengan dua Adun PN ingin berkecuali, jika pun UMNO (14 Adun) disokong oleh 3 lagi Adun PN, kedudukan akan menjadi 17-17.
Apabila kedudukan seri begitu yang berlaku, Aminuddin sudah pasti akan beroleh kemenangan melalui undi penentu daripada Speaker.
Ertinya, jika UMNO ingin mengusulkan juga undi tidak percaya terhadap Aminuddin, selain pasti kalah, mereka juga akan mendapat malu besar.
Maka, lebih selamat jika UMNO membatalkan saja hasrat untuk membawa undi tidak percaya terhadap Aminuddin.
Tetapi, UMNO juga tentunya lebih malu jika menjilat balik memberi sokongan kepada Aminuddin.
Takkan parti Melayu terbesar sanggup buat begitu?
Demi maruah dan harga dirinya, jalan yang boleh dikira bermaruah berikutan gagal menjatuhkan Aminuddin ialah dengan UMNO segera mengisytiharkan dirinya sebagai blok pembangkang di Negeri Sembilan.
Biarkan saja Aminuddin terus kekal sebagai Menteri Besar, tetapi sebagaimana diazamkan sebelum ini, UMNO harus berusaha bermati-matian untuk menumbangkan Aminuddin dan PH melalui pilihan raya.
Dan sementara menunggu pilihan raya diadakan, adalah lebih bermaruah jika UMNO turut mengisytiharkan dirinya keluar daripada kerajaan di peringkat Pusat untuk sama-sama bergelar pembangkang juga.
Takkan UMNO Pusat nak kekal lagi dalam kerajaan, sedangkan 14 Adun parti itu di di Negeri Sembilan sudah bergelar pembangkang?
Hanya dengan sedia bergelar pembangkang dan cepat-cepat memisahkan dirinya daripada segala macam masalah dan ketidaktentuan kerajaan yang dapat memungkinkan UMNO mampu memenangi lebih banyak kerusi selepas ini.
Jika tidak, alamat sama-sama menjunamlah jawabnya. - ShahbudinHusin 5Mei2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1277535441036239&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.