Arus Malaysia
Pertelingkahan terbuka dalam Perikatan Nasional (PN) semakin membara apabila pemimpin Bersatu mula membalas secara keras kenyataan seorang Adun PAS yang sebelum ini mencadangkan parti itu keluar daripada gabungan tersebut.
Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah menempelak Adun Sura, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak mengenang jasa politik PN yang menjadi platform kemenangan PAS hari ini.
Menurut Rafiq, Tengku Fakhruddin perlu sedar bahawa kedudukannya sebagai wakil rakyat juga tidak dapat dipisahkan daripada kekuatan PN serta sokongan Bersatu dalam gabungan itu.
Malah beliau menyamakan tindakan pemimpin PAS itu sebagai “kacang lupakan kulit”, sekali gus memberi bayangan bahawa hubungan antara PAS dan Bersatu kini semakin retak di sebalik slogan perpaduan pembangkang yang sering dilaungkan sebelum ini.
Kenyataan panas itu hadir selepas Tengku Fakhruddin menggelar tindakan Bersatu memecat dan menggantung beberapa pemimpin parti sebagai satu “penyembelihan politik” demi mengekalkan kuasa dalaman.
Dalam hantaran media sosialnya, beliau malah mencadangkan Bersatu meninggalkan PN kerana mendakwa parti itu kini sudah “hilang roh” dan semakin tenggelam tanpa arah.
Kenyataan tersebut mencetuskan kejutan besar dalam kalangan penyokong PN apabila kritikan itu datang daripada pemimpin PAS sendiri.
Kemelut dalaman Bersatu kini dilihat semakin serius selepas beberapa pemimpin kanan termasuk Ahli Parlimen dan Adun dikenakan tindakan disiplin secara besar-besaran.
Penganalisis politik melihat perang terbuka antara pemimpin PAS dan Bersatu ini boleh menjadi petanda awal bahawa PN sedang berdepan krisis kepercayaan paling kritikal menjelang PRU16, sekali gus membuka persoalan sama ada gabungan itu masih benar-benar kukuh atau sedang menunggu masa untuk berpecah.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.