SAYANG SEKALI, ZAHID HAMIDI MELEPASKAN PELUANG JADI HERO PENYATUAN MELAYU
29 April 2026
Dalam konteks lain yang jauh lebih penting, penarikan sokongan UMNO Negeri Sembilan terhadap Menteri Besar negeri itu, Aminuddin Harun sebenarnya berupaya memisahkan UMNO daripada kepungan gelaran UMDAP yang selama ini meresahkan parti itu.
Dengan menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan melalui kerjasama dengan PN untuk menubuhkan kerajaan baharu, DAP secara automatik turut hilang kuasa di di negeri tersebut.
Selepas berjaya menjadikan DAP tiada lagi kuasa di Negeri Sembilan, UMNO boleh menjarakkan lagi hubungannya dengan parti itu Perak dan Pahang pula.
Di Perak ean Pahang, walaupun jika UMNO beralih kepada bekerjasama dengan PN dan meninggalkan PH/DAP, mereka masih boleh kekal memegang jawatan Menteri Besar seperti sekarang.
Selanjutnya, dalam PRN Melaka dan Johor selepas ini, UMNO meneruskan lagi kerjasamanya dengan PN.
Melalui kerjasama itu, UMNO/BN dengan sokongan PN, dijangka tidak sukar mengekalkan kemenangan dua pertiganya di kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam perkiraan yang tak sangat susah, UMNO bersama PN akhirnya mampu mengangkat kuasa Melayu menjadi dominan di Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Dengan bersandarkan kejayaan tersebut, UMNO dan PN boleh meneruskan lagi kerjasama mereka untuk berlawan satu lawan satu dengan PKR/DAP/PH pada PRU16 akan datang.
Dalam pertembungan itu nanti, diyakini dengan seyakin-yakinnya bahawa BN dan PN mampu memperolehi kemenangan bergaya lagi selesa dan dapat membentuk kerajaan baharu mengenepikan PKR/DAP/PH.
Akhrinya kuasa Melayu dengan disokong oleh bukan Melayu seperti mana era kerajaan BN dan kerajaan Perikatan menguasai negara suatu ketika dahulu kembali menguasai negara ini.
Semua itu mampu dijadikan kenyataan jika tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan PH di Negeri Sembilan disokong sepenuhnya oleh UMNO Pusat dan Zahid Hamidi.
Melalui perubahan di Negeri Sembilan, ia sebetulnya mampu menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar dan bermakna di seluruh negara.
Sayangnya, semua itu tidak berlaku dan dalam kemelut di Negeri Sembilan, Zahid Hamidi, selain gagal memastikan pertukaran kerajaan berlaku, beliau juga nampaknya masih mahu merujuk kepada cikgunya iaitu Anwar Ibrahim terlebih dahulu untuk menyelesaikan apa yang berlaku.
Sudahnya, bukan saja kemelut di Negeri Sembilan masih tidak selesai sehingga kini, bahkan hubungan UMNO dengan PH juga mula bermasalah.
Kecaman, kutukan dan ancaman daripada PH kepada UMNO bukan saja berlaku di Negeri Sembilan, malah telah merebak kepada negeri lain seperti Selangor, Johor dan pemimpin PH di peringkat Pusat juga tidak segan lagi melakukannya.
Aksi berbalas kenyataan antara Pemuda UMNO dan AMK PKR juga ternampak semakin agresif.
Dalam keadaan ini, UMNO sekarang ini bukan saja semakin tidak dipercayai oleh PH dan digelar kawan yang suka makan kawan, malah pastinya penyokong PKR dan penyokong DAP tidak mahu lagi memberi undi kepada calon UMNO/BN pada PRU akan datang.
Akhirnya, selain UMNO/BN berpotensi kalah lebih teruk pada PRU akan datang, bahkan Zahid Hamidi terlepas peluang keemasan untuk tampil sebagai hero penyatuan Melayu.
Jika Zahid Hamidi berjaya memastikan kerajaan bertukar di Negeri Sembilan dan Jalaluddin Alias jadi Menteri Besar, seterusnya kerjasama UMNO dan PN terbentuk di beberapa negeri lain dan seterusnya memastikan gabungan dua parti itu dapat mengambil alih kerajaan, di samping gelaran hero penyatuan Melayu dapat dirangkulnyq, silap-silap jawatan Perdana Menteri ke-11 turut jatuh ke riba Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Tapi, sayang seribu kali sayang, Zahid Hamidi melepaskan peluang keemasan yang telah terhidang. - ShahbudinHusin 29April2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1272451501544633&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.