PARTI TEAM RESET HAMZAH SEMAKIN HAMPIR UNTUK BERAKSI DI LAPANGAN
20 April 2026
Hari demi hari, teka-teki mengenai parti yang bakal ditubuhkan oleh bekas Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin semakin memperlihatkan perkembangan yang positif.
Terbaru, beliau memberitahu, parti baharunya itu dijangka dapat diumumkan secara rasmi pada bulan depan.
Serentak dengan itu, bekas Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, parti baharunya itu sudah pun mempunyai kekuatan ratusan ribu ahli serta 130 bahagian sedia ada di seluruh negara.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun menambah, perincian mengenai parti baharunya itu masih dirahsiakan buat masa ini memandangkan nama rasmi parti berkenaan belum dimuktamadkan lagi.
“Rumah baharu ini bakal mempunyai kekuatan besar dengan keahlian mencecah ratusan ribu orang,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang giat berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi memastikan semua prosedur dipatuhi dan mengelakkan sebarang isu teknikal atau perundangan timbul pada masa hadapan.
“Persediaan di peringkat akar umbi menunjukkan perkembangan positif di mana lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan,” jelas beliau.
Hamzah turut memberitahu, beliau berhasrat membawa parti baharunya itu menganggotai Perikatan Nasional (PN) yang sekarang dianggotai PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Berdasarkan penjelasan Hamzah itu, tidak disangkal lagi bahawa beliau bakal mengambil alih sebuah parti yang sudah pun sedia didaftarkan di bawah RoS.
Mungkin selepas diambil alih nanti, nama parti itu akan ditukar kepada nama yang lebih bersesuaian, sesuai dengan hasrat PN mengambil kerajaan dan membina semula negara ini.
Sebab itu, beliau menyebut partinya itu sudah sedia mempunyai ratusan ribu ahli dan 130 bahagian di seluruh negara.
Apakah nama parti yang akan diambil alih Hamzah, biarlah ia menjadi rahsia buat masa nanti.
Sampai masa dan ketikanya nanti, seluruh negara akan mengetahuinya.
Yang penting, detik untuk memperlihatkan parti baharu itu beraksi secara rasmi di lapangan semakin hampir jadi kenyataan.
Dengan ratusan ribu ahli dan 130 bahagian telah sedia, jika ditambah dengan pengikut serta penyokong Hamzah daripada Bersatu yang akan mengikutnya, seterusnya disertai oleh penyertaan daripada mereka yang belum berparti atau ketika ini sedang menganggotai lain-lain, adalah dirasakan keahlian awal parti itu boleh mencecah sehingga 300 ribu atau 400 ribu ahli ketika pengumuman rasmi nanti.
Dalam keadaan itu, parti baharu tersebut tentunya mempunyai jangkauan masa depan yang cerah lagi memberangsangkan.
Dengan demikian juga, kemasukan parti yang menaungi Team Reset Hamzah ke dalam PN seharusnya tidak ditangguhkan kerana ia jelas mampu memberi nilai tambah yang signifikan ke arah memastikan gabungan itu mampu memenangi PRU16 akan datang.
PN dalam hal ini ternampak semakin menuju menjadi sebuah gabungan harapan buat rakyat Malaysia seluruhnya. - ShahbudinHusin 20April2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1265317612258022&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.