PKR TIDAK SEPATUTNYA TERUS MENYERANG RAFIZI DALAM PROGRAM PARTI

 

6 April 2026

Semalam Rafizi Ramli diserang di dua lokasi berbeza, tetapi kedua-dua cubaan itu terbukti tidak menghasilkan kejayaan.
Di Konvensyen PKR Johor, Naib Presiden parti itu, R Ramanan menyerang Rafizi secara terbuka dalam ucapannya.
Bagaimanapun, serangan Ramanan terhadap Rafizi disanggah, juga secara terbuka dan secara berdepan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim.
Dalam mana-mana majlis, hampir tidak pernah berlaku sebenarnya pemimpin yang sedang berucap, apa lagi jika bertaraf menteri, disanggah secara berdepan ketika sedang berucap di atas pentas.
Dengan apa yang terjadi semalam, realitinya Ramanan tidak dipandang tinggi oleh ahli-ahli PKR sendiri, bahkan Rafizi lebih dilimpahi simpati.
Susulan itu sejak semalam lagi, kedudukan Ramanan sebagai ahli yang relatif masih baru menyertai PKR tetapi kini sudah bergelar menteri, mula dijadikan bahan kecaman yang meluas di media sosial.
Lebih daripada itu, insiden tersebut yang videonya tular ke seluruh dunia sehingga Trump yang sedang sibuk berperang dengan Iran juga barangkali sempat menontonnya, turut mencalarkan imej PKR ke seluruh penjuru alam.
Oleh kerana PKR baru sepenggal mengetuai kerajaan, ramai yang kini mula berfikir dua kali untuk memberi undi lagi kepada parti itu pada PRU akan datang.
Insiden kedua yang berlaku kepada Rafizi semalam ialah cubaan mengemukan usul untuk melucutkan kedudukannya sebagai Ketua Cabang Pandan.
Dalam undian yang dilakukan, 42 ahli cabang mengundi untuk menolak usul memecat atau menggantung Rafizi, manakala hanya 34 undi yang menyokong usul itu.
Lebih memalukan kepada yang membawa usul itu, Rafizi berjaya memenangi undian usul tersebut walaupun beliau tidak menghadiri mesyuarat cabang yang diadakan semalam.
Kesimpulan mudah daripada dua insiden semalam ialah Rafizi menang kedua-duanya.
Dalam kedua-dua insiden itu, PKR ternyata melakukan kesilapan kerana bertindak secara berterusan menyerang dan cuba memalukan Rafizi secara terbuka dalam program dan mesyuarat parti.
Kedua-dua tindakan terhadap Rafizi semalam tidak sepatutnya dilakukan oleh PKR atau mana-mana pemimpinnya.
Bukankah memalukan apabila tindakan diambil untuk cuba memalukan Rafizi, tetapi PKR sendiri yang akhirnya mendapat malu?
Selepas pemilihan PKR tahun lalu yang menyaksikan Rafizi tewas kepada Nurul Izzah dan Ahli Parlimen Pandan itu secara konsisten dan tanpa henti menyerang Anwar, PKR dan kerajaan, tindakan yang sepatutnya diambil ialah memecat beliau.
Bertindak menyerang Rafizi dalam konvensyen dan mengemukakan usul untuk melucut atau menggantung jawatan beliau, hanya memperlihatkan PKR “tak reti” bertindak dengan kuasa yang ada padanya.
Buat apa melakukan serangan terbuka dan mengemukan usul jika tindakan pecat boleh dilakukan dengan mudah?
Adakah PKR takut nak memecat Rafizi atau masih sayang kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu?
Jika masih sayang dan PKR masih perlukan Rafizi serta tidak mahu kehilangannya, satu-satunya cara ialah Anwar sendiri harus berusaha berjumpa dengan Ahli Parlimen Pandan itu dan memujuknya agar bersama-sama kembali menguatkan parti.
Antara Rafizi dan Ramanan, sudah tentu Rafizi lebih bernilai kepada PKR berbanding Ahli Parlimen Sungai Buloh itu.
Tetapi jika Anwar dan PKR tidak mahu melakukan semua itu, maka segeralah memecatnya.
Berhentilah juga membuat gesaan agar Rafizi keluar parti kerana beliau diketahui terikat dengan perjanjian yang memerlukannya membayar RM10 juta jika berbuat demikian.
Namun, jika Rafizi dipecat, PKR tidak perlu membayar apa-apa wang kepadanya.
Jadi, pecat sajalah dan selepas itu hadapi beliau sebagai musuh yang bukan lagi ahli PKR. - ShahbudinHusin 06April2026.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.