Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar tidak membiarkan perbezaan pandangan menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat.
Terdahulu ketika berucap pada Konvensyen PKR Johor, Anwar berkata perbezaan pendapat adalah lumrah dalam parti, namun ia tidak boleh melampaui batas hingga merosakkan perjuangan.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan khianati perjuangan rakyat,” katanya.
Ucapan itu hadir dalam konteks suasana dalaman parti yang dilihat semakin tegang kebelakangan ini, dengan beberapa pemimpin secara terbuka mengkritik kepimpinan parti.
Anwar yang juga perdana menteri menegaskan bahawa kesetiaan seharusnya diberikan kepada prinsip perjuangan, bukan kepada individu tertentu.
“Loyalty itu kepada perjuangan, bukan kepada mana-mana orang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kelemahan dalaman akan membuka ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan, terutama menjelang cabaran politik akan datang.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmennya untuk terus memerangi rasuah dan salah guna kuasa tanpa kompromi.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa, tidak kira siapa,” katanya lagi.
Menurutnya, kerajaan ketika ini masih berdepan cabaran besar termasuk kos sara hidup rakyat, yang memerlukan usaha berterusan untuk ditangani.Beliau berkata pentadbiran sekarang sedang berusaha memperbaiki kelemahan sistem lama yang dibelenggu ketirisan dan rasuah.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh keperluan memperkukuh parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang, sambil mengingatkan anggota supaya tidak mengulangi amalan lama seperti politik wang dan budaya fitnah.
“Kalau kita lemah sesama sendiri, musuh akan ambil kesempatan,” katanya.
Konvensyen itu menghimpunkan pimpinan dan akar umbi PKR Johor dalam usaha memperkukuh jentera parti di negeri berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.