BERMULA DI NEGERI SEMBILAN, KERJASAMA BN/PN DI SELURUH NEGARA BOLEH DIJADIKAN KENYATAAN




27 April 2026


Tahniah kepada UMNO/BN Negeri Sembilan kerana bertindak berani menarik sokongan terhadap kerajaan PKR/PH di Negeri Sembilan.


Walaupun BN dan PH ada kerjasama politik di peringkat pusat, ia tidak menghalang BN negeri untuk bertindak berani “menguis” PKR/PH daripada kuasa yang sedang digenggamnya.


Dengan penarikan sokongan itu, 14 Adun BN tidak lagi menyokong Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.


Berikutan kerajaan PKR/PH di Negeri Sembilan hanya mempunyai sokongan 17 Adun, Aminuddin hampir pasti akan “belayar malam” dan hilang kekuasaan dalam tempoh sehari dua ini.


Selepas ini, 5 Adun PN yang sedia berada di blok pembangkang sudah tentu akan memberi sokongan kepada UMNO/BN untuk menjadi peneraju baharu kerajaan Negeri Sembilan.


Negeri Sembilan mempunyai 36 Dun - 17 dimiliki PH, 14 BN dan 5 PN.


Dalam senario ini, adalah dijangka Jalaluddin Alias akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu mewakili blok baharu BN dan PN.


Pun begitu, perkara tersebut boleh  tidak menjadi kenyataan jika Aminuddin mengambil keputusan menasihati Yang Dipertuan Negeri, Negeri Sembilan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN negeri.


Tetapi, jika pun diadakan PRN, PKR/PH diramalkan akan kehilangan banyak kerusi dan kalah lebih teruk berbanding kedudukan sedia ada.


Akhirnya, kuasa tetap hilang daripada tangan mereka.


Apa yang dijangka menarik selepas ini ialah jika kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi permulaan kepada kerjasama lain melibatkan kedua-dua gabungan sehingga kepada PRU16 akan datang.


Bahkan dalam PRN Melaka yang bakal diadakan sebelum hujung tahun ini, BN dan PN juga boleh bekerjasama.


Kesimpulan mudah, melalui kerjasama BN dan PN itu nanti - bermula di Negeri Sembilan dan diikuti di negeri lain seperti Pahang dan Perak, pakatan kedua-dua gabungan itu juga mampu “tapau”  kuasa di seluruh negara.


BN dan PN tidak harus lepaskan peluang keemasan untuk menguasai Malaysia ini. - ShahbudinHusin 27April2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1270933841696399&id=100063393840098





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.