Balai Undang ‘ditutup’, adat tak boleh jalan





 


Balai Undang Luak Sungai Ujong di Ampangan tidak lagi boleh digunakan untuk sebarang istiadat adat susulan pemberhentian Mubarak Thahak sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong.

Menurut kenyataan media oleh Telaga Undang Luak Sungai Ujong, larangan itu berkuat kuasa selepas Mubarak Thahak disahkan tidak lagi mempunyai kuasa (locus standi) sejak 13 Mei 2025.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk pembesar memerintah Negeri Sembilan tidak dibenarkan menjalankan sebarang adat istiadat di premis berkenaan tanpa kebenaran sah.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang penggunaan Balai Undang bagi tujuan adat hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan waris Klana melalui kerapatan Waris Negeri yang diadakan di rumah Telaga Undang.

“Pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri Sembilan diminta bertindak tegas sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan adat istiadat tanpa kebenaran,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Sarifah Norzaidah Al-Qadri, yang menegaskan kepentingan memelihara tertib adat dan keabsahan struktur tradisi dalam pentadbiran Luak Sungai Ujong.

Untuk rekod, pada 17 April, Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti mengesyorkan agar Datuk Klana Petra Mubarak Dohak ditamatkan perkhidmatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong, dengan 33 alasan pelanggaran adat dikemukakan bagi menyokong tindakan tersebut. 

Pada 19 April, keadaan menjadi lebih tegang apabila empat individu bergelar Undang mengumumkan “pemecatan” Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar, serta cubaan menabalkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pengganti.

Namun, kesahihan tindakan itu segera dipersoalkan memandangkan pengumuman tersebut dibacakan oleh Mubarak yang ketika itu statusnya sebagai Undang juga dipertikaikan.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.